Skip to main
Logo Malaysiakini

'Presiden Upko khianati slogan 'Bersatu Misompuru'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

PRN SABAH | Wilfred Madius Tangau telah mengkhianati slogan “Bersatu Misompuru” atau seruan perpaduan antara tiga parti utama di Sabah apabila dia mengambil keputusan menyertai kerajaan negeri Warisan, kata Adun Kiulu, Joniston Bangkuai.

Joniston, yang merupakan Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS), dilaporkan menyuarakan kekecewaannya terhadap Presiden Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) itu.

Katanya, Madius telah membawa Upko keluar daripada BN untuk membentuk kerajaan dengan Warisan setelah BN tewas pada pilihan raya umum ke-14, walaupun slogan “Bersatu Misompuru” merupakan idea Madius.

"Pada pilihan raya umum lalu, kita telah berkempen bersama di bawah slogan ‘Bersatu Misompuru’ (perpaduan).

"Sebenarnya itu adalah cadangannya supaya tiga parti utama Kadazan-Dusun-Murut - Upko, PBS dan PBRS (Parti Bersatu Rakyat Sabah) - membentuk gabungan rasmi yang bersatu dalam menghadapi pilihan raya.

“Akhirnya, Majlis Presiden yang terdiri daripada tiga presiden parti ditubuhkan dan kami menang.

"Tetapi, apa yang menyedihkan selepas pilihan raya, tiba-tiba dia meninggalkan kami untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan di bawah pimpinan Warisan," kata Joniston, lapor The Borneo Post.

Dia berkata demikian kepada pemberita ketika sesi bertemu calon di Kampung Tudan-Poring di Kiulu.

Sebelum PRU14, ketiga-tiga parti tersebut adalah parti komponen BN. Namun, susulan kekalahan gabungan tersebut di peringkat persekutuan dan negeri, Upko dan PBS mengumumkan keluar daripada gabungan itu. Ia menyaksikan Upko bergabung dengan Warisan sementara PBS membentuk kumpulannya sendiri.

Madius kemudian menjadi salah seorang timbalan ketua menteri Sabah di bawah pentadbiran Shafie Apdal.

Sejak itu, PBS bergabung dengan BN dan juga Perikatan Nasional untuk pilihan raya negeri Sabah, meskipun tidak bergabung dengan gabungan tersebut.

Joniston juga dilaporkan berkata bahawa, dia bagaimanapun, tidak ragu-ragu untuk bekerjasama dengan Madius yang merupakan Ahli Parlimen Tuaran.

Untuk rekod, Kiulu adalah salah satu daripada tiga kawasan DUN yang berada di kawasan Parlimen Tuaran.

Menurut Joniston, ia mungkin lebih baik sekiranya Kiulu mempunyai dua wakil rakyat yang bekerjasama untuk manfaat sekeliling, tanpa mengira perbezaan politik mereka.

"Sekiranya kerajaan negeri sebelum ini bersedia kerjasama dengan kerajaan persekutuan walaupun di pihak yang berlawanan, mengapa kita tidak dapat buat perkara yang sama untuk Kiulu.

"Saya tidak dia (Madius). Dia masih kawan saya, tetapi dia telah meninggalkan kita,” katanya.