Skip to main
Logo Malaysiakini

'Dulu kita bersama BN, yang keluar itu Upko'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

PRN SABAH | Calon Bersatu-Perikatan Nasional, Limus Jury yakin dapat mempertahankan kerusi Dun Kuala Penyu walaupun lawannya mendakwa dia harus ditolak pada pilihan raya negeri 26 Sept ini kerana tindakannya melompat parti.

Bercakap kepada wartawan di Kuala Penyu hari ini, Limus berkata dia telah menjelaskan kepada penyokongnya bahawa dia meninggalkan Upko pada Jun lalu untuk menghormati mandat yang diberikan pengundi kepada BN pada pilihan raya umum (PRU) 2018.

"Saya telah beritahu kenapa saya keluar dari Upko dan bukan saya yang keluar, dulu kita bersama BN, yang keluar itu Upko.

"Then i explained  (kemudian saya jelaskan) kepada pengundi saya dan semenjak saya keluar (daripada Upko) kerajaan Warisan dalam 26 bulan tidak ada apa pun pembangunan dari sana untuk bantu rakyat," katanya kepada wartawan.

Limus memenangi kerusi Kuala Penyu pada PRU 2013 dan PRU 2018 atas tiket BN-Upko. 

Selepas PRU 2018, Upko meninggalkan BN untuk membentuk kerajaan dengan Warisan.

Pada Jun lalu, Limus dan Adun Sugut, James Ratib mengumumkan keluar dari Upko untuk menyokong PN. James memenangi kerusi itu pada 2018 atas tiket BN-Umno.

Kedua-duanya antara 14 Adun yang menyokong bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman, yang gagal untuk membentuk kerajaan negeri baru pada penghujung Julai lalu.

Daripada 14 Adun berkenaan, 10 Adun termasuk Limus dan James - dicalonkan semula dan ia menjadi modal politik bagi gabungan Warisan Plus untuk menyeru agar pengundi menolak "politik katak".

Ketika ditanya mengenai perkara itu, Limus berkata dia tidak terpengaruh dengan retorik pembangkang.

"(Pengundi) Masih (tetap) setia kepada saya," katanya, sambil menambah pengundi faham mengapa beliau bertukar kem.

"Dia orang faham, yes, ni kerajaan Warisan dia bukan buat pembangunan apa," katanya.

Kuala Penyu merupakan kerusi Dun di bawah Parlimen Beaufort, yang terletak kira-kira dua jam perjalanan dari Kota kinabalu.