Skip to main
Logo Malaysiakini

SEA Gamer Mall cutikan CEO, CPO lepas dituduh terlibat skandal godam

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Syarikat permainan video dalam talian SEA Gamer Mall Sdn Bhd berkata syarikat mereka tidak pernah terlibat dalam aktiviti haram.

Kenyataan itu hadir selepas pengasas yang juga ketua pegawai eksekutifnya (CEO), Wong Ong Hua dan ketua pegawai produknya (CPO) Ling Yang Ching, didakwa oleh Jabatan Kehakiman AS (DOJ) terlibat dalam skandal penggogaman antarabangsa.

Dalam kenyataan media hari ini, Sea Gamer Mall berkata kedua-dua "kakitangan" mereka itu kini bercuti sementara perkara berkenaan diselesaikan.

Bagaimanapun, syarikat itu menyatakan kesediaan memberi kerjasama dengan pihak berkuasa dalam siasatan kes berkenaan.

"Kedua-dua kakitangan yang dikaitkan kini sedang bercuti sementara menunggu penyelesaian perkara itu.

"Sebagai syarikat yang bertanggungjawab memberi khidmat kepada jutaan pelanggan di seluruh dunia, kami komited akan memberikan kerjasama sepenuhnya dan membantu pihak berkuasa.

"Tanpa menjejaskan integriti proses perundangan, cukuplah dikatakan bahawa syarikat ini tidak pernah terlibat dalam sebarang aktiviti haram," katanya.

Wong dan Ling telah didakwa dengan 23 tuduhan termasuk bersekongkol dengan penggodam dari China untuk "mengaut keuntungan daripada pencerobohan komputer" yang mensasarkan syarikat permainan komputer di AS, Perancis, Jepun, Singapura dan Korea Selatan.

Sementara itu, penggodam dikatakan telah bekerjasama dengan kedua-dua individu tersebut untuk "mencuri dan mengubah wang" melalui industri permainan video.

Kedua-duanya telah ditangkap dan polis Malaysia dijangka akan membuat kenyataan umum mengenai kes tersebut dalam masa terdekat.

Maklumat pelanggan ‘selamat dan terjamin’

Laman web SEA Gamer Mall adalah kedai dalam talian yang menjual "kad top-up" untuk permainan dalam talian yang popular, kad hadiah digital dan kredit mudah alih prabayar.

Laman web itu mendakwa ia mempunyai satu juta pengguna berdaftar dan 350,000 pengguna aktif setiap bulan.

Susulan dakwaan DOJ, SEA Gamer Mall memberi jaminan bahawa maklumat peribadi pengguna dilindungi.

"Semua maklumat peribadi pelanggan kami tetap selamat dan terjamin.

"Syarikat ini secara aktif terlibat dengan profesional luar untuk meningkatkan sistem kami untuk memastikan keselamatan dan keamanan terbaik untuk melindungi semua data pribadi dan perincian pelanggan kami.

"Kami berusaha untuk mengambil semua langkah yang diperlukan untuk meminimumkan risiko hubungan perniagaan kami dengan rakan kongsi kami," katanya dalam kenyataan media yang sama.

Berpusat di Sitiawan, Perak, SEA Gamer Mall mempunyai pejabat di China, Thailand dan Indonesia.

Rekod syarikat menunjukkan ia memperoleh pendapatan RM386.4 juta dan keuntungan RM11.6 juta pada tahun 2019.

Selain Wong dan Ling, pengarah SEA Gamer Mall lain termasuk Nerine dan Chryseis Tan, anak perempuan pengasas Berjaya Corporation Bhd, Vincent Tan.

Vincent juga merupakan pemegang saham utama dalam syarikat itu melalui Cyberventures Sdn Bhd.

Cyberventures dimiliki oleh Vecc-Men Holdings Sdn Bhd, di mana Vincent mempunyai kepentingan.