Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Bertuah, bersyukur

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

“Merdeka!” laung saya menghadap langit dengan perasaan bangga.

Radio memutarkan lagu-lagu patriotik yang merdu. Saya mengangkat bendera kebangsaan, Jalur Gemilang lalu mengibarkannya.

Saya memfokuskan pada bahagian segi empat yang berwarna biru tua. Bahagian ini melambangkan perpaduan rakyat negara saya, Malaysia.

Alangkah bertuahnya saya menjadi anak tanah air ini, sebuah negara yang dicorakkan cantik dengan kerencaman budaya yang unik oleh sebab mempunyai rakyat berbilang kaum.

Tanpa disedari, senyuman kegembiraan dan kebanggaan terpahat pada wajah saya.

Sejak kecil, saya belajar di sekolah yang menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar.

Oleh itu, saya hampir tidak mempunyai rakan sekelas kaum lain, apalagi bergaul dengan mereka.

Namun, ada banyak orang Melayu atau bangsa lain mendiami di sekeliling kawasan perumahan saya.

Apabila saya berjalan kaki di tepi lorong, saya acap kali bertemu dengan mereka.

Kami saling berbalas senyuman tanpa mengira perbezaan.

Pakaian kami berbeza, bahasa kami berbeza, adat istiadat kami berbeza.

Walaupun begitu, kami hidup aman sejahtera bawah langit biru yang sama dan memandang pemandangan sama yang indah permai.

Alangkah bahagianya kehidupan kami!

Setiap kali saya menyaksikan persembahan kaum lain pada Festival Budaya Borneo tahunan, hati saya terpikat oleh pakaian mereka yang istimewa dan bakat mereka.

Setiap kali saya mengunjungi pasar malam yang berhampiran dengan rumah saya, sajian tradisional mereka yang lazat sungguh juga membuka selera saya.

Saya yakin bahawa etnik-etnik lain juga menyukai makanan bangsa saya, bangsa Cina.

Di kampung halaman saya, Sibu, terdapat sesuatu yang menarik.

Tak kenal maka tak cinta

Rakyat berbilang kaum boleh menikmati hidangan sambil berbual-bual di kedai kopi yang sama, dan juga menjadi teman akrab.

Dari aspek berkomunikasi dengan kebanyakan penjaja, saya berasa amat susah pada mulanya.

Hal ini demikian kerana mereka merupakan orang Melayu atau Iban dan bahasa mereka bukan bahasa ibunda saya.

Namun, kini, saya dapat berbual-bual dengan mereka.

Hubungan antara kami sebagai rakyat dalam tanah tumpah darah yang kami sayangi ini semakin erat kerana kami belajar untuk berkomunikasi antara satu sama lain dan saling memahami.

Persis kata pepatah Melayu, tak kenal maka tak cinta.

Saya berkenalan dengan Alyaa yang bukan berbangsa Cina di pusat tuisyen bahasa Inggeris.

Saya masih ingat bahawa apabila saya masih kecil dan julung-julung kali saya duduk di sebelahnya, kami tidak berbual-bual kerana berasa malu.

Kami tidak pernah bercakap secara bersemuka dengan orang kaum lain.

Kemudian, saya mengucapkan kalimat pertama antara kami kepadanya dalam bahasa Cina, tetapi dia hanya tersenyum.

Saya sedar bahawa dia tidak dapat berbahasa Cina kerana bahasa Cina bukan bahasa yang digunakannya.

Justeru, saya belajar untuk menggunakan bahasa Inggeris apabila berbual-bual dengannya.

Walaupun saya tidak dapat bercakap dengan fasih, dia sentiasa mendengar dengan sabar dan tenang sebelum mula bercakap.

Apabila saya menghadapi masalah dalam pelajaran dan menyoalnya, dia akan mengajar dan membantu saya dengan sedaya upaya.

Lama-kelamaan, saya berani berkomunikasi dengan orang lain dengan bahasa Inggeris.

Heather Pryor pernah berkata: “Teman sejati ialah orang yang meraih tangan anda dan menyentuh hati anda.”

Alyaa orang itu.

Hari Natal di Rumah Bekakong

Kami belajar di pusat tuisyen yang sama selama beberapa tahun.

Pusat tuisyen kami akan mengadakan pesta kelas pada setiap akhir tahun sebelum cuti sekolah bermula.

Kami boleh membawa makanan yang dihidangkan di rumah dan saling berkongsi.

Saya dan kawan-kawan sekelas tidak menyediakan lauk-pauk yang tidak dimakan Alyaa.

Kami menghormati adat kaumnya ini.

Pada suatu kali, kami meminta Alyaa menyanyi satu lagu di hadapan kelas tanpa memberitahunya terlebih dahulu.

Pada mulanya, dia menolak permintaan kami dengan malu. Namun, dia akhirnya bersetuju kerana kami terus menggalakkannya.

Nyanyiannya yang hanya sekadar satu minit itu berjaya mencuit hati semua orang di dalam kelas.

Apabila dia menamatkan nyanyian, tepukan gemuruh menyelubungi seluruh bilik darjah.

Setiap kali saya mengimbas kembali interaksi kami, senyuman riang pastinya terukir pada wajah.

Kini, saya tidak belajar di pusat tuisyen ini lagi.

Saya berasa kesal sekali kerana tidak dapat berhubung lagi dengannya kerana kami tidak mempunyai telefon bimbit sebelum ini.

Jadi, sudah lama kami tidak berjumpa. Saya berharap agar semua yang dialaminya baik.

Meskipun kami berasal dari latar belakang yang berbeza, kami saling menyukai, menghormati dan menghargai.

Saya juga pernah mengunjungi Rumah Bekakong yang didiami oleh kaum Iban untuk meraikan Hari Krismas bersama mereka.

Gambar hiasan

Perjalanan pergi ke sana mengambil masa kira-kira satu jam setengah.

Apabila rakan-rakan dan saya seiring dengan beberapa orang dewasa sampai, rakyat Rumah Bekakong menyambut kedatangan kami dengan mesra.

Girang hati mereka tidak dapat digambarkan.

‘Persahabatan dulu, pertandingan kemudian’

Luaran dan dalaman rumah panjang mereka sudah dihiaskan dengan hiasan Krismas seperti pokok-pokok Krismas dan lain-lain.

Inilah kali pertama saya datang ke sini.

Saya kagum dengan dalaman rumah mereka yang memang panjang dan besar.

Oleh sebab saya dan beberapa kawan tidak tahu bagaimana bercakap bahasa mereka, kami tidak dapat berbual-bual dengan mereka.

Namun, pengalaman ini juga berharga dan tidak dapat dilupakan.

Kami mempersembahkan tarian manakala kanak-kanak mereka mempersembahkan nyanyian.

Kami semua menyanyi lagu “Selamat Hari Natal dan Tahun Baru” serta bermain permainan bersama-sama.

Suara ketawa tidak berhenti-henti memenuhi seluruh rumah panjang.

Sebelum kami pulang, kami memberi buah tangan yang dibawa dari Sibu.

Mereka membalas dengan senyuman. Kami merasakan kegembiraan mereka dan tersenyum bersama-sama.

Saya juga berasa sukacita kerana menyertai pasukan memanah sekolah apabila saya berumur 13 tahun.

Melalui latihan dan pertandingan antara sekolah, saya berkenalan dengan kawan-kawan berbangsa Melayu yang berdarah campuran Cina.

Kami mengamalkan semangat “persahabatan dahulu, pertandingan kemudian” dan saling memberi galakkan antara satu sama lain.

Oleh sebab sama berminat dalam memanah, kami menemui dan menjadi teman benar dalam sukan ini.

Sungguh bertuah saya dilahirkan, dibesarkan dan hidup di sini.

Saudara saudari saya yang berbilang kaum, kendatipun kita banyak berbeza, marilah kita memegang tangan masing-masing dengan ikat dan menyanyi bersama-sama:

Walaupun berbeza
Budaya Agama
Bukanlah penghalang
Kita bergandingan
Marilah bersatu
Sehati sejiwa
Malaysia kekal sejahtera

(“Sehati Sejiwa”, Lagu Tema Kebangsaan 2016)

Abang memanggil saya yang sedang termenung.

Saya tersenyum dan terus mengibarkan Jalur Gemilang.


JOY LEE XING YEE merupakan pelajar dari Sekolah Menengah Katolik, Sibu, Sarawak.

Rencana ini antara penyertaan dalam pertandingan menulis esei sempena Hari Malaysia anjuran sebuah organisasi. Ia tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Berkaitan:
ULASAN | Semarakkan hubungan antara kaum