Skip to main
Logo Malaysiakini

Pegawai kanan syarikat swasta diheret ke mahkamah kerana pecat pemberi maklumat

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Seorang pegawai kanan syarikat swasta akan menjadi individu pertama di Malaysia yang didakwa di mahkamah kerana mengambil tindakan yang memudaratkan pemberi maklumat.

Pegawai kanan itu didakwa menyebabkan seorang pekerja kehilangan pekerjaan selepas melaporkannya ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam satu kenyataan, SPRM mengatakan bahawa suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi esok untuk menghadapi pertuduhan.

"SPRM telah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara bagi menuduh seorang pegawai kanan syarikat di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada jam 8.30 pagi, esok.

"Tertuduh akan menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 10 (3) (b), Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) kerana telah menyebabkan seorang kakitangan syarikat dipecat setelah memberikan maklumat kepada SPRM berkaitan salah laku yang dibuat oleh tertuduh.

"Pertuduhan di bawah seksyen tersebut merupakan yang pertama dalam sejarah sejak akta berkenaan berkuat kuasa pada 2010," kata agensi pencegahan rasuah itu dalam kenyataan media hari ini.

Di bawah akta tersebut, adalah suatu kesalahan bagi seseorang untuk mengambil tindakan yang memudaratkan terhadap pemberi maklumat atau sesiapa sahaja yang berkaitan dengannya.

Sesiapa yang didapati melakukan kesalahan tersebut boleh dihukum denda tidak lebih RM100,000, atau penjara tidak lebih 15 tahun, atau kedua-duanya.

SPRM menyatakan bahawa mereka prihatin terhadap masalah yang dihadapi oleh pemberi maklumat kerana memaklumkan pihak berkuasa mengenai amalan rasuah.

"Peruntukan undang-undang tersebut menggalakkan pendedahan maklumat mengenai sebarang jenayah rasuah atau salah laku lain di samping memberikan perlindungan kepada pemberi maklumat daripada sebarang tindakan yang memudaratkan.

"Oleh demikian, SPRM tidak akan teragak-agak menjalankan siasatan ke atas pihak yang cuba mengenakan tindakan yang memudaratkan ke atas pemberi maklumat.

"SPRM berharap agar pertuduhan berkaitan kes ini dapat memberikan isyarat kepada masyarakat agar tidak gentar dalam memberikan kerjasama kepada agensi penguat kuasa untuk menyalurkan maklumat berkaitan rasuah dan salah guna kuasa.

"Pertuduhan berkaitan kes ini juga diharapkan dapat memberi pengajaran kepada pihak yang cuba mengenakan tindakan ke atas pemberi maklumat," katanya.