Skip to main
Logo Malaysiakini

Pegawai, anggota polis salah guna aset k'jaan diambil tindakan - PDRM

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Beberapa pegawai dan anggota polis yang didapati menggunakan aset kerajaan seperti kenderaan milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi kepentingan peribadi telah diambil tindakan termasuk tidak layak dipertimbangkan kenaikan pangkat.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman Datuk Zamri Yahya berkata tindakan diambil mengikut Peraturan 36 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam 1993 melibatkan prosiding tatatertib.

“Antara hukuman lain yang dikenakan ialah diberikan amaran, memotong emolumen dan menangguhkan kenaikan gaji.

"Mereka juga tidak layak dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat dan menghadiri kursus-kursus rasmi jabatan dalam satu jangka masa tertentu sehingga tamat masa yang ditetapkan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya ada menerima rungutan daripada anggota-anggota polis berhubung dakwaan pegawai yang menyuruh mereka melakukan urusan peribadi seperti menghantar isteri pegawai ke pasar menggunakan kenderaan PDRM.


Baca: Ada pegawai suruh orang bawah hantar isteri ke pasar


Zamri memaklumkan setakat ini tiada sebarang tindakan diambil ke atas mana-mana pegawai atasan berhubung perkara itu.

Menurutnya ini kerana rungutan mengenai perkara itu dibuat secara umum dan tidak dinyatakan secara khusus pegawai yang terlibat.

“Sesiapa yang terlibat kita minta supaya berhenti melakukan perkara ini dan sesiapa yang menjadi mangsa mohon buat laporan secara khusus,” katanya.

Beliau menegaskan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pegawai polis yang terlibat mengerah anggota bawahan untuk melaksanakan urusan peribadi.

Zamri dalam satu sidang media pada Selasa lepas dilapor berkata terdapat segelintir pegawai dan anggota polis yang melakukan kesalahan antaranya salah guna kuasa, bergaduh dan tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan semasa bertugas.

- Bernama