Skip to main
Logo Malaysiakini

Adun DAP lapor polis dakwa serangan seksual oleh ahli MIC

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Adun Sabai D Kamache hari ini membuat laporan polis terhadap beberapa ahli MIC berhubung audio tular yang didakwa berunsur serangan seksual terhadap dirinya di laman sosial pada Isnin lalu.

Pemimpin DAP itu mendakwa beberapa ahli MIC telah membuat hantaran berunsur serangan dan palsu selepas mendakwa bahawa dia mempunyai hubungan sulit dengan seorang bekas menteri dari PH.

"Mereka membuli dan membuat serangan seksual dengan mendakwa saya mempunyai hubungan dengan seorang bekas menteri di kumpulan WhatsApp.

"Mereka keluarkan tohmahan tanpa asas. Saya pernah laporkan kepada polis berhubung buli siber seperti ini.

"Oleh kerana tiada tindakan diambil semakin lama semakin teruk perbuatan mereka," katanya kepada Malaysiakini.

Kamache yang merupakan Adun penggal ketiga di DUN Sabai, Pahang mendakwa bahawa beliau menerima banyak aduan daripada ahli wanita dari PH dan orang ramai mengenai serangan seksual oleh ahli-ahli MIC.

"Kadang-kala mereka sangat teruk. Membuat pelbagai tohmahan dengan isu-isu peribadi.

"Ini bukan satu budaya politik matang khususnya bagi kaum wanita," katanya.

Tambahnya, beliau sedia memberi bantuan undang-undang jika ada di kalangan mangsa tampil ke hadapan dan mengambil tindakan.

Terdahulu, Kamache membuat laporan polis di Balai Polis Karak pada Selasa yang lalu.

"Saya membuat laporan polis agar pihak penguatkuasa mengambil tindakan tegas terhadap tindakan buli dan serangan seksualnya," katanya.

Dihubungi kemudian, Ketua Penerangan MIC V Gunalan berkata bahawa MIC mengambil serius perkara ini.

"Kami memang melihat serius perkara ini. Kami sedang membuat siasatan dalaman.

"Jika ada bukti, maka tindakan akan diambil terhadap ahli-ahli yang terlibatnya," katanya.