Skip to main
Logo Malaysiakini

Maahad Tahfiz di Jitra terbakar, 6 pelajar berjaya selamatkan diri

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Enam pelajar lelaki terselamat selepas bangunan Maahad Tahfiz Darul Ulum Ar-Rahimiyah di Lorong Alif dekat Jitra, terbakar hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada 1.23 tengah hari sebelum tiba di lokasi empat minit kemudian.

"Apabila sampai di lokasi, api sedang marak di tingkat atas bangunan berkenaan tetapi enam pelajar yang berada di situ berjaya menyelamatkan diri. Namun, salah seorang daripada mereka cedera di jari kerana terkena serpihan kaca.

"Pelajar berkenaan telah dibawa ke Hospital Jitra menggunakan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk menerima rawatan lanjut manakala pelajar yang lain berada dalam keadaan selamat," katanya dalam kenyataan di Jitra.

Kebakaran bangunan yang menempatkan 52 pelajar dan dua tenaga pengajar itu melibatkan sebuah bilik yang dipercayai menjadi tempat simpanan barangan perkakasan tidur.

"Kebakaran melibatkan kemusnahan sebanyak 30 peratus daripada keseluruhan pusat tahfiz tersebut. Semasa kejadian, hanya enam pelajar yang berada di dalam bangunan berkenaan manakala pelajar dan pengajar yang lain telah ke masjid berdekatan untuk solat Jumaat.

"Api berjaya dikawal pada 1.41 tengah hari dan faktor hujan lebat juga membantu mengurangkan kerosakan dan punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.

- Bernama