Skip to main
Logo Malaysiakini

Kaji selidik: Perpecahan antara kaum berterusan, tapi ada anak muda berubah

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kaji selidik dilakukan firma Vase.ai mendapati terdapat sedikit perbezaan pandangan dalam kalangan belia di negara ini berhubung isu-isu semasa seperti yang melibatkan kaum, agama, ekonomi dan pendidikan.

Tinjauan Malaysia’s Temperature Check 2020 itu meliputi responden pelbagai umur, jantina, bangsa dan pendapatan isi rumah yang ditanya mengenai topik-topik sedang hangat dibicarakan.

Ketika ditanya kewajaran kerajaan mengusir pelarian, kira-kira separuh (51 peratus) daripada responden yang berusia 18 hingga 30 tahun bersetuju dengan tindakan tersebut.

Kebanyakan responden berusia 46 tahun dan ke atas (89 peratus) juga setuju dengan tindakan tersebut dan mereka yang berusia 31 hingga 45 juga menyatakan amat bersetuju (77 peratus).

Bagaimanapun, peratusan yang kecil (27 peratus) daripada belia menunjukkan pandangan berbeza dengan menyatakan sokongan membenarkan pelarian bekerja di Malaysia.

Berkenaan isu adakah hubungan sejenis (homoseksual) tidak patut dikenakan hukuman di Malaysia, 40 peratus daripada belia dan 25 peratus responden dari umur 21 hingga 45 bersetuju, manakala 33 peratus dari mereka yang berusia 46 dan ke atas turut sependapat dengan tindakan tersebut.

Selain itu, 28 peratus belia bersetuju dengan hukuman sampai mati dimansuhkan. Bagaimanapun, hanya 17 peratus daripada kalangan mereka yang berusia 46 tahun dan ke atas serta 20 peratus responden berusia 31 hingga 45 bersetuju dengan tindakan tersebut.

Perbezaan pendapat berdasarkan kaum

Di samping itu, dengan kerjasama beberapa badan bukan kerajaan, tinjauan mengenai isu bangsa, agama dan hal berkaitan pendidikan turut dijalankan.

Antara NGO yang terlibat ialah Undi18, Architects of Diversity dan Women’s Aid Organisation (WAO).

Kajian tersebut mendapati terdapat respons yang berbeza berdasarkan kaum Melayu dan bukan Melayu apabila isu melibatkan kaum, agama dan pendidikan dibangkitkan.

Sebanyak 85 peratus responden Melayu bersetuju apabila ditanya adakah kaum Melayu berhak mendapat hak keistimewaan sebagai bumiputra namun berbeza dengan bukan Melayu apabila 30 peratus bumiputera bukan Melayu bersetuju, serta India 14 peratus dan Cina 10 peratus.

Perkara yang sama terjadi apabila menyentuh soalan pelaksanaan undang-undang hudud di Malaysia. Sebanyak 68 peratus responden Melayu bersetuju dengan pelaksanaan hudud.

Namun, perbezaan ketara terlihat daripada kaum Cina (11 peratus), bukan Melayu bumiputera (25 peratus) dan India (10 peratus) yang bersetuju dengan pelaksanaan tersebut.

Respons yang sebaliknya ditunjukkan apabila soalan mengenai penghapusan sekolah-sekolah vernakular ditanyakan.

Lebih daripada separuh responden Melayu (56 peratus) bersetuju sekolah vernakular dihapuskan, tetapi hanya sebilangan kecil dari kaum Cina (9 peratus), India (15 peratus) dan bukan Melayu bumiputera (24 peratus) memberikan persetujuan.

Meskipun wujud percanggahan dalam isu-isu ini, kebanyakan responden menunjukkan mereka mahu parti-parti politik tidak memainkan isu perkauman dan agama, serta mengamalkan dasar-dasar yang adil.

Pendapat itu meliputi 76 peratus responden daripada semua kaum, jantina dan kategori umur.

Sependapat tentang isu ekonom

Di samping itu, responden tersebut turut sependapat berhubung isu-isu melibatkan ekonomi dan pekerjaan.

Antaranya, elaun bulanan patut disediakan kepada semua rakyat Malaysia dan gaji minimum perlu dinaikkan kepada RM1,200 ke atas.

Menyentuh isu pendapatan bulanan, kebanyakan responden bersetuju bantuan ekonomi diperlukan berdasarkan pendapatan yang diperolehi berbanding latar kaum penerima.

Sebanyak 80 peratus responden daripada pelbagai kaum bersetuju dan jumlah paling ramai ialah kaum Cina (92 peratus).

Responden juga bersetuju supaya kerajaan sepatutnya mengutamakan warganegara berbanding pendatang tanpa izin untuk menjadi penerima bantuan.

Pendapat itu dipersetujui oleh golongan berusia 46 tahun ke atas (95 peratus), bukan Melayu bumiputera (92 peratus) dan Melayu (89 peratus).

Tinjauan itu juga mendapati 84 peratus responden daripada semua lapisan bersetuju bahawa kerajaan sewajarnya melindungi dan memelihara hak tanah Orang Asli.

Kebanyakan mereka juga setuju perkahwinan bawah usia 18 tahun patut diharamkan.

Selain itu, 82 peratus setuju supaya kerajaan mengawal laman-laman media sosial untuk mengekang penyebaran maklumat yang salah.

Respons sama didapati apabila ditanya adakah perlu kerajaan menguatkuasakan syarikat-syarikat sosial media supaya memadam kandungan jelik dan mengenakan denda kepada mereka yang berkongsinya.

Tinjauan itu dijalankan atas talian di antara 2 dan 3 Sept serta melibatkan 1,027 rakyat Malaysia berdasarkan demografik.

[Baca berita asal]