Padah himpit kereta milik anggota polis, individu ditahan
Dari belakang suspek memotong dan memberhentikan keretanya secara tiba-tiba di hadapan kereta mangsa, maklum Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal.
Padah bertindak menghimpit sebuah kereta milik anggota polis, seorang individu ditahan terbabit insiden buli jalan raya di hadapan perhentian bas sistem perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Mutiara Damansara.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata dalam kejadian kira-kira 3.20 petang kelmarin itu, mangsa yang berusia 34 tahun dilaporkan membuat pusingan ‘U’ di kawasan lampu isyarat di Palm Spring Kota Damansara, di Kuala Lumpur sebelum didatangi suspek berkereta bertindak enggan memberi laluan kepadanya.
Beliau berkata suspek berusia 52 tahun itu, yang memandu kereta jenis Proton Saga didapati tidak berpuas hati dengan tindakan itu lantas menghimpit kereta jenis Perodua Myvi milik seorang anggota polis.
“Suspek kemudian mengekori kereta mangsa dari belakang sebelum bertindak memotong dan memberhentikan keretanya secara tiba-tiba di hadapan kereta mangsa sehingga menyebabkan mangsa turut terpaksa berhenti,” katanya kepada Bernama hari ini.
Nik Ezanee berkata suspek kemudiannya turun dari kereta dan memarahi mangsa dengan menggunakan kata-kata kesat.
“Kedua-dua individu hadir untuk membuat laporan polis, namun suspek enggan memberi kerjasama kepada pegawai penyiasat yang cuba menerangkan sebab-sebab dia perlu ditangkap.
“Suspek juga bertindak menjerit dan memarahi serta bertindak merampas salinan laporan yang dipegang pegawai berkenaan,” katanya.
Nik Ezanee berkata suspek direman oleh pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya selama empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 90 Akta Polis 1967 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.
Dalam perkembangan lain, seorang lelaki dengan 11 rekod jenayah penipuan ditahan selepas didapati membuat penipuan penawaran gelaran ‘Datuk’ dari Istana Kelantan dengan bayaran sejumlah RM20,000.
Nik Ezanee berkata mangsa berusia 58 tahun bekerja sebagai anggota pasukan keselamatan dilapor diperkenalkan dengan suspek berusia 32 tahun oleh rakan sejawatnya.
“Mangsa pada mulanya enggan menerima tawaran itu tetapi setelah dipujuk dan didesak, mangsa akhirnya bersetuju dan membuat bayaran secara berperingkat secara tunai,” katanya.
Menurutnya, berdasarkan rekod polis, laporan mengenai kes berkenaan telah dibuat pada 20 Okt 2015 di IPD Petaling Jaya.
"Polis bagaimanapun telah melakukan tangkapan ke atas suspek di Kuantan, Pahang pada 11.40 pagi semalam (Khamis) sebelum diserahkan kepada IPD Petaling Jaya untuk direman selama dua hari manakala kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai