Skip to main
Logo Malaysiakini

Kajian Unicef: 40% kanak-kanak terima kandungan lucah tak dikehendaki dalam talian

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Satu laporan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unicef) mendedahkan kira-kira 65 peratus kanak-kanak yang terbabit dalam kajiannya di Asia Tenggara melihat kandungan seksual secara dalam talian.

Manakala kira-kira 40 peratus kanak-kanak pula dilaporkan menerima kandungan seksual yang tidak dikehendaki di akaun media sosial mereka.

Kandungan seksual dalam talian itu berbentuk mesej, imej atau video seksual yang mereka tidak mahu.

Kajian itu membabitkan 301 kanak-kanak berusia 11 hingga 18 tahun di Malaysia, Thailand, Indonesia dan Kemboja.

Laporan itu juga turut memberi tumpuan khusus kepada masyarakat pinggir bandar, dengan 121 responden diklasifikasikan sebagai "anak jalanan dan pelarian".

Dalam laporan itu yang dilancarkan hari ini, ia juga mencatat perbezaan minimum antara lelaki dan perempuan ketika diminta bercakap mengenai pengalaman mereka sendiri kepada penyelidik.

"Banyak juga kanak-kanak telah menerima gambar yang tidak diminta dari lelaki dalam talian, dari kanak-kanak lelaki dari usia yang sama dan dari orang tidak dikenali atau tidak bertemu dalam talian.

"Walaupun ini lebih biasa di kalangan remaja perempuan, banyak lelaki mengatakan bahawa mereka dihantar gambar tanpa diminta, atau diminta untuk menghantar gambar mereka sendiri,” kata laporan itu.

Sebanyak 22.8 peratus daripada kanak-kanak itu berkata mereka pernah diminta bercakap mengenai tindakan seksual oleh seseorang dalam talian walaupun mereka tidak mahu, manakala 17.6 peratus pernah diminta menunjukkan gambar atau video bahagian sulit mereka.

Menurut laporan itu, kanak-kanak lelaki dan perempuan dilaporkan pernah diminta untuk gambar lucah, dengan hanya sebilangan kecil memutuskan memaklumkan ibu bapa perkara itu.

Sebagai tindak balas kebanyakan mereka segera menyekat penghantar itu, tetapi ada yang menghantar respons meminta orang tidak dikenali itu tidak menghantar imej kepada mereka, atau bertanya kenapa mereka menghantarnya.

Kata laporan itu, ini biasanya akan membawa kepada permintaan untuk remaja itu menghantar imej atau individu tidak dikenali itu menghantar gambar lain.

Apabila diminta berkongsi pengalaman mereka secara rahsia melalui soal selidik, 7 daripada 10 kanak-kanak itu memberitahu mereka mengalami sesuatu dalam talian yang membuatkan mereka kecewa sepanjang tahun lalu.

“Dua daripada 5 orang melaporkan mereka mempunyai pengalaman buruk yang mereka tidak mahu berkongsi atau beritahu sesiapa pun,” kata laporan itu.

Dakwa laporan itu lagi, 40 peratus responden mengatakan bahawa mereka mempunyai pengalaman buruk yang mereka tidak mahu berkongsi dengan sesiapa.

"Hanya sebilangan kecil yang berkongsikan pengalaman buruk itu kepada ibu bapa, rakan sebaya atau orang dewasa lain yang dipercayai," kata laporan itu.

Di kalangan ibu bapa dan penjaga pula, kajian mendapati bahawa mereka agak ketinggalan dari segi kemahiran dan pengetahuan digital jika hendak dibanding dengan anak-anak mereka.

Oleh itu, laporan Unicef mengesyorkan ibu bapa dan guru juga perlu mengasah kemahiran digital mereka.

Ini termasuk mengintegrasikan media sosial ke dalam program keibubapaan untuk membina kemahiran literasi digital di kalangan ibu dan bapa.

“Anak-anak yang berdaya tahan - mereka yang dilengkapi dengan kemahiran dalam bidang seperti komunikasi, penyelesaian konflik dan keberkesanan diri - lebih cenderung membuat pilihan yang sesuai ketika menggunakan media sosial, lebih bersedia untuk menguruskan konflik yang mungkin mereka hadapi melalui platform yang mereka gunakan (dan lebih meluas dalam talian), dan mengambil langkah yang lebih baik untuk memastikan keselamatan mereka sewaktu berada di dalam talian," katanya.

Laporan itu menggesa syarikat teknologi menyediakan profil media sosial secara terus bagi melindungi privasi kanak-kanak, selain menambah bahawa WhatsApp ialah aplikasi khusus yang perlu dipantau secara dekat.

Cara kanak-kanak menggunakan media sosial

Selain melihat risiko yang dihadapi oleh kanak-kanak di dalam talian, kajian ini juga menyatakan banyak cara responden menggunakan media sosial.

Antara aplikasi yang paling banyak digunakan kanak-kanak dan remaja adalah Instagram, Facebook, Facebook Messenger, WhatsApp, PubG, Mobile Legends dan YouTube.

Ia menyatakan bagaimana kanak-kanak menggunakan media sosial untuk memperoleh kemahiran baru, membuat kandungan di saluran YouTube mereka sendiri, belajar bahasa Inggeris dan bahkan mengajar pelajaran atau menjual barang dalam talian untuk menjana pendapatan.

Laporan tersebut turut disediakan oleh penyelidik laporan Unicef, Monica Bulger dan pengarah eksekutif Pusat Keadilan dan Pencegahan Jenayah Afrika Selatan, Patrick Burton.