Skip to main
Logo Malaysiakini

Wan Abd Rahim bakal kemudi PH Kelantan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Amanah Kelantan mencadangkan bekas pengerusinya Wan Abd Rahim Wan Abdullah dilantik sebagai pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri.

Pengerusi Amanah Kelantan, Muhammad Husain berkata, pelantikan itu bagi menggantikan kekosongan selepas penyandangnya Husam Musa meletakkan jawatan baru-baru ini.

"Perkara ini sudah dibawa kepada Amanah Nasional dan dipersetujui oleh pimpinan. Cuma ia akan dibincangkan oleh pimpinan PH pusat untuk keputusan.

"Kita melihat cadangan ini adalah pilihan terbaik yang kita ada berdasarkan pengalaman dan kredibiliti Wan Abd Rahim," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu Husam yang juga anggota Dewan Negara dilaporkan melepaskan jawatan pengerusi PH Kelantan, naib presiden Amanah dan bendahari PH.

Susulan itu juga bekas Adun Salor itu kini dilihat mula mengatur langkah tersendiri dalam meneruskan kerjaya politiknya khususnya sebagai ketua Amanah kawasan Kota Bharu.

Husam ketika berucap merasmikan Mesyuarat Tahunan Amanah Kubang Kerian pada 19 September lalu berkata beliau telahpun memberikan amaran mengenai kejatuhan kerajaan PH seawal April 2019 lagi.

"Saya telah memberikan pandangan kepada pimpinan tertinggi Amanah bahawa kerajaan PH akan tumbang seawal bulan April 2019. Boleh tanyalah pimpinan (Amanah).

"Saya tidak boleh namakan dia pada hari ini. Bulan Julai 2019, sekali lagi saya jumpa mereka, saya nyatakan pandangan saya, kerajaan tuan-tuan akan tumbang.

"Tolonglah sebagai menteri tuan-tuan buat sesuatu yang rakyat suka macam tindakan Erdogan di Turki dan jangan tersilap langkah macam Morsi di Mesir," katanya.

Husam dalam ucapannya turut menyentuh mengenai soal rakyat hilang percaya kepada pimpinan kerajaan PH, walaupun tidak menyebut nama secara langsung, dipercayai kritikan itu ditujukan kepada Dr Mahathir Mohamad.

"Saya suka berfikir secara praktikal. Saya lebih sayang Tun (Dr Mahathir) lagi kalau kira. Kerana orang lain kenal rapat dengan Tun lepas saya rapat dengan dia," katanya.

Menjelaskan lanjut, Husam berkata mandat rakyat pada PRU14 lalu ialah Dr Mahathir akan menjadi perdana menteri dan menyerahkan jawatan itu kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim kemudian.

"Suka tak suka, kitab tak kitab suci, manifesto kita kita telah berjanji. Sebagai seorang pemimpin kita tidak boleh kata masa kita buat dulu saya tak sedar diri, lepas menang baru saya tahu, tak boleh macam itu. Sedaya-upaya kita kena usahakan.

"Bila kita kata manifesto kita ini bukan kitab suci, kita tak terikat dengan manifesto, itu antara permulaan hilangnya kepercayaan rakyat kepada kerajaan PH. 

"Bila mari pilihan raya kecil pengundi ajar, mari pilihan raya kecil pengundi ajar, mari pilihan raya kecil pengundi ajar. Tak sedar lagikah," soal Husam ketika berucap.

Amanah ambil maklum pandangan Husam

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Amanah Kelantan Che Ibrahim Mohamed berkata, pihaknya mengambil maklum pandangan dan saranan Husam berkaitan isu hubungan dengan Mahathir dan partinya.

Katanya, semua pihak boleh memberi apa-apa saranan dan cadangan untuk memperkukuhkan parti Amanah dan menarik sokongan pengundi kepada Amanah.

"Namun Amanah juga perlu meraikan rasa setiakawan dan penyatuan PH serta huhungannya dengan parti-parti pembangkang yang lain agar perpaduan di kalangan parti parti PH terus kukuh untuk berhadapan dengan Perikatan Nasional (PN) dan BN yang sedang menguasai negara hari ini.

"Keputusan muktamad berkaitan hubungan dengan parti-parti lain di luar PH serta isu pembahagian kerusi di kalangan parti parti PH adalah merupakan strategi parti dan hanya Majlis Presiden PH yang ada kuasa untuk membincang dan membuat apa-apa keputusan berkaitan," jelas Che Ibrahim.