Skip to main
Logo Malaysiakini

57 kes baru, kluster keenam dikesan di Tongod Sabah - KKM

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Sebanyak 57 kes baru dilaporkan setakat jam 12 tengah hari ini, maklum Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Kes baru hari ini melibatkan 51 penularan tempatan dan enam import dengan kes aktif kebolehjangkitan kini 751.

"Daripada 51 kes penularan di dalam negara, 45 kes adalah warganegara Malaysia dan enam (6) kes adalah bukan warganegara," katanya pada suatu kenyataan hari ini.

Sabah kekal sebagai negeri yang mencatat kes tertinggi dengan 49 kes termasuk kluster baru yang keenam yang dikesan di Tongod, Sabah selain Kluster Benteng LD, Kluster Selamat, Kluster Pulau, Kluster Bakau dan Kluster Laut.

"Kluster ini dikenalpasti hasil saringan yang telah dijalankan di sekitar Daerah Tongod susulan saringan Covid-19 satu petugas kesihatan yang didapati positif ujian saringan RTK Antigen pada 4 September 2020.

"Beliau telah disaring sebagai saringan rujukan ke hospital. Namun, ujian pengesahan Covid-19 ke atas beliau (iaitu rt-PCR) didapati negatif.

"Saringan di sekitar Daerah Tongod yang bermula pada 6 September 2020 telah melibatkan masyarakat setempat termasuk petugas kesihatan Klinik Kesihatan tersebut.

"Kesemua kes positif (iaitu kes ke-10253 hingga ke-10257) dalam kluster ini merupakan warganegara. Mereka tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent, Sandakan untuk rawatan," jelas Noor Hisham.

Setakat ini, sejumlah 117 individu dari Kluster Kuarters telah disaring, dengan lima dikesan positif Covid-19 dan 112 masih lagi menunggu keputusan.

Sementara itu, 14 kes baru dikesan daripada Kluster Pulau, 12 daripada Kluster Selamat, lima kes masing-masing daripada Kluster Benteng Lahad Datu.

Lain-lain kes penularan dalam negara di Sabah ialah masing-masing dua kes Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (Hospital Queen Elizabeth), saringan bergejala (Hospital Queen Elizabeth dan Hospital Lahad Datu), saringan tahanan lokap di Beaufort, dan saringan pelatih pusat rehabilitasi.

Selain itu, satu kes masing-masing kes saringan prapembedahan, kes influenza-like illness, kes saringan kontak rapat, kes saringan petugas kesihatan (Lahad Datu) dan kes saringan rujukan ke Hospital Tawau.

Menurut pengarah KKM lagi, 40 kes pulih dicatat hari ini manakala jumlah terkumpul kes pulih 9,395. 

Tiada kematian dilapor hari ini namun sembilan pesakit sedang dirawat di ICU dengan dua kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

[Berita penuh menyusul]



Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.