Skip to main
Logo Malaysiakini

Tamu, pasar tani di beberapa daerah Sabah diarah tutup sementara

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Tamu (pasar minggu), pasar malam, pasar tani, gerai dan pasar borong milik PBT di beberapa daerah di Sabah diarah tutup buat sementara waktu, manakala pasar harian milik PBT dipendekkan operasi iaitu dari jam 6.00 pagi hingga 2.00 petang.

Taman-taman awam milik PBT juga diarah ditutup.

Berdasarkan pekeliling yang dikeluarkan Kementerian Kerajaan dan Perumahan Tempatan, dan dimuat naik di Facebook Berita RTM Sabah hari ini, penutupan taman awam dan pasar-pasar ini berikutan peningkatan kes Covid-19 di negeri itu.

Ia juga selaras dengan keputusan Mesyuarat Sabah Covid-19 Command Centre pada 20 September 2020.

Daerah yang terlibat ialah Tawau, Lahad Datu, Kunak, Semporna, Kudat, Pitas, Beaufort, Sipitang dan Tongod.

Selain itu, gerai dan restoran makanan di beberapa daerah tersebut turut diarahkan menutup kedai lebih awal dari biasa, seawal jam 6 petang bermula hari ini.

"PBT (Pihak berkuasa tempatan) adalah diminta untuk mengehadkan masa operasi bagi kedai makan dan restoran iaitu bermula jam 6.00 pagi hingga 6.00 petang," kata pekeliling itu.

Bagaimanapun, makan di gerai (dine in) masih dibenarkan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), antaranya penjarakan fizikal satu meter antara pelanggan, susun atur meja dengan jarak dua meter dan kedudukan pelanggan di dalam premis secara berselang-seli.

Berdasarkan pemerhatian di pekan Tawau, gerai-gerai makan melakukan persiapan menutup kedai seawal jam 6.30 petang.

Para pekerja dilihat mengemop lantai, mengelap dan membasmi meja, menyusun meja dan kerusi dan menarik birai besi.

Beberapa pengusaha kedai makan memberitahu tindakan itu bagi mematuhi pekeliling yang diterima, berkata setakat semalam mereka masih dibenarkan beroperasi sehingga jam 10.30 malam.

Selain kedai makan, masa operasi premis hiburan turut dipendekkan sehingga jam 10 malam sahaja setiap hari.

Penguatkuasaan itu berkuat kuasa hari ini sehingga dimaklumkan kelak.

Setakat jam 12 tengah hari ini, 57 kes baru Covid-19 dilaporkan membabitkan enam kes import dan 51 penularan tempatan - 45 kes warganegara Malaysia dan enam kes bukan warganegara.

Sabah kekal sebagai negeri yang mencatat kes tertinggi dengan 49 kes baru hari ini.

Kes penularan tempatan di Sabah melibatkan 14 kes daripada Kluster Pulau, 12 daripada Kluster Selamat, lima kes masing-masing daripada Kluster Benteng Lahad Datu dan kluster baru keenam dikesan iaitu Kluster Kuarters di Tongod.

Sabah kini berdepan musim kempen pilihan raya negeri (PRN) yang menyaksikan pemimpin-pemimpin parti politik menjelajah ke seluruh pelusuk negeri bertemu pengundi bagi meraih undi.

Ekoran peningkatan kes, terdapat cadangan untuk mewajibkan kuarantin ke atas sesiapa yang pulang dari Sabah ke semenanjung, terutamanya dalam musim pilihan raya ini.

Hari mengundi dijadualkan 26 September ini.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.