Skip to main
Logo Malaysiakini

Star tak lagi sokong calon bebas, kata Jeffrey Kitingan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

PRN SABAH | Parti Solidariti Tanah Airku (Star) tidak lagi menyokong calon bebas, kata presidennya Jeffrey Kitingan.

"Calon bebas bukan calon kami (Apa mereka lakukan) di luar kawalan kami," katanya kepada pemberita di Keningau hari ini.

Pada 16 September lalu, Kitingan secara terbuka berkata partinya akan menyokong calon bebas yang juga penyandang kerusi DUN Inanam, Kenny Chua serta beberapa yang lain.

Chua sendiri mendakwa telah mendapat "restu" Perikatan Nasional (PN) yang turut dianggotai Star. Dia juga dilihat berkempen menggunakan warna PN.

Kenny Chua (berdiri)

Dalam PRN kali ini, Chua akan berdepan sepuluh lagi calon, termasuk daripada Parti Bersatu Sabah (PBS).

PBS merupakan sebahagian daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), yang turut dianggotai PN dan BN.

Sementara itu, Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Azmin Ali yang berkempen di Keningau hari ini berkata, PN tidak boleh menghentikan calon bebas daripada terus menggunakan logo gabungan itu dalam bahan kempen mereka.

"Ia membuktikan populariti PN termasuk di kalangan calon bebas. Bagaimanapun kepimpinan PN telah membuat kenyataan bahawa kita tidak menyokong mana-mana calon bebas.

Ini kerana kami (GRS) ada calon di setiap DUN. Jika (calon bebas) mahu guna nama kami, saya melihatnya dari sudut positif," katanya lagi.

Berhubung Inanam, Azmin berkata PN akan menyokong GRS, maka akan menyokong calon PBS iaitu William Majimbon.