Senator cadang tubuh kementerian khusus jaga peribumi
Ahli Dewan Negara dari Bersatu, Razali Idris, mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan Kementerian Peribumi bagi menjaga hal ehwal orang Melayu, Orang Asli, bumiputera di Sabah dan Sarawak serta masyarakat Siam di negara ini.
Razali berkata memandangkan kepentingan hal ehwal kaum itu dilihat berselerak di bawah beberapa kementerian dan jabatan, maka tiba masanya ia disatukan dalam satu kementerian yang khusus.
“Sudah tiba masanya kerajaan pusat memikirkan cara terbaik meletakkan di bawah satu bumbung dengan peruntukan yang khusus kepada masyarakat peribumi ini.
“Isu mengenai masyarakat peribumi hampir sama di seluruh dunia termasuk Malaysia iaitu isu kelangsungan budaya, bahasa, tanah adat, alam sekitar, akses kepada pendidikan, kemiskinan, perkhidmatan dan kemudahan asas,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Razali lagi, masyarakat peribumi juga sering terpalit dengan isu-isu berkaitan kemunduran dan kemiskinan serta kesan daripada kemodenan.
Bagaimanapun, katanya, tidak semua perubahan yang dihadapi dapat ditempuhi oleh sesuatu masyarakat sehingga mampu mewujudkan komuniti yang membangun dan maju.
Sebaliknya kata Razali jika gagal menangani perubahan itu mereka akan berdepan dengan kemerosotan.
“Tidak ada masyarakat di dunia ini yang tidak berubah. Semuanya akan melalui proses perubahan sama ada perubahan itu cepat mahupun perlahan.
“Namun perubahan ini sudah pasti membawa pelbagai cabaran dan halangan yang terpaksa ditempuh,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai