Pendakwaan rayu pembebasan Siti Kasim
Pihak pendakwaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah membebaskan peguam Siti Kasim daripada pertuduhan menghalang tugas pegawai Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) semasa serbuan terhadap program trangender pada 2016.
Peguam kepada Siti Kasim, Saha Deva Arunasalam pagi ini memberitahu bahawa pihak pendakwaan mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 27 Ogos lalu.
Pada 21 Ogos, dilaporkan bahawa Mahkamah Majistret Kuala Lumpur melepaskan dan membebaskan aktivis sosial itu daripada tuduhan menghalang seorang penjawat awam menjalankan tugasnya dalam serbuan 2016.
"Pihak pendakwaan memfailkan rayuan jenayah pada 27 Ogos," kata Saha.
"Kami belum diberi notis (tentang rayuan)," kata peguam itu sambil menambahkan bahawa mereka baru mengetahui tentang rayuan hari ini.
Saha memberitahu media selepas pengurusan kes berhubung tuntutan mahkamah Siti terhadap Jawi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini.
Pada 12 September tahun lalu, Malaysiakini melaporkan bahawa Siti mengemukakan tindakan undang-undang terhadap Jawi dan 18 yang lain atas penahanan salah semasa serbuan pada 2016 berhubung kes transgender itu.
Namun pada 9 Oktober tahun lalu, dilaporkan bahawa prosiding saman sivilnya ditangguhkan hingga penyelesaian kes jenayahnya di Mahkamah Majistret.
Sementara itu, hari ini, berkaitan tuntutan saman, Saha memberitahu bahawa hakim Latifah Mohd Tahar menetapkan 28 Oktober untuk pengurusan kes selanjutnya.
Dia berkata, pengurusan kes pada 28 Oktober adalah untuk mengemas kini mahkamah sivil mengenai status rayuan jenayah yang kini ada di Mahkamah Tinggi yang berasingan.
Saha menambah bahawa pasukan undang-undang plantif mengikuti perkembangan rayuan kes jenayah anak guamnya itu kerana mereka sedang mempertimbangkan untuk memasukkan pihak lain ke dalam tuntutan sivil yang berkaitan.
Semakan di ecourtservices.kehakiman.gov.my menunjukkan bahawa rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Siti ditetapkan untuk sebutan di hadapan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Farah Azura Mohd Saad pada jam 9 pagi, 5 Oktober.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai