Skip to main
Logo Malaysiakini

Ismail: Rakyat Sabah dalam kuarantin boleh mengundi

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Rakyat Sabah yang memiliki gejala seperti demam atau batuk serta mereka yang berada di dalam kuarantin dibenarkan mengundi pada Sabtu ini.

Bagaimanapun, mereka yang positif Covid-19 tidak dibenarkan mengundi.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob memaklumkan satu saluran khas mengundi dibuat untuk pengundi yang tidak sihat dan bergejala.

Beliau berkata Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini memuktamadkan keputusan itu bagi mengelakkan risiko jangkitan Covid-19.

"Kita telah timbang. Mereka yang positif dan sedang dirawat di hospital tidak dibenarkan mengundi. Kita tidak mahu ada kluster mengundi," katanya pada sidang media PKPP di Putrajaya hari ini.

Katanya, mereka yang berada di dalam kuarantin perlu memohon kebenaran daripada pejabat kesihatan daerah supaya dapat memperuntukkan masa untuk mereka di bawa ke pusat pengundian.

Sementara itu, Ismail Sabri mengingatkan semua calon dan petugas parti politik supaya mengamalkan kawalan kendiri yang ketat semasa menjalankan kempen PRN.

"Sebagai contoh kempen dari rumah ke rumah, kita tak halang tetapi kita harap jumlah dapat dikurangkan iaitu masuk ke rumah satu atau dua orang sahaja bertemu dengan pengundi," katanya.

Bagi kempen menerusi ceramah pula, SOP asas seramai 30 orang sahaja perlu dipatuhi.

Mengenai masa yang ditetapkan SPR bagi pengundi biasa keluar mengundi pada Sabtu ini, Ismail Sabri berkata pematuhan terhadap waktu yang ditetapkan tersebut bukan syarat wajib.

"Kalau tidak dapat datang pada waktu yang ditetapkan (SPR), datang pada waktu lain masih boleh mengundi.

“Jadi jangan salah anggap bila tidak dapat keluar pada waktu yang ditetapkan (SPR), langsung tidak datang mengundi,” katanya.

Ismail Sabri menjelaskan pengundi boleh hadir mengundi pada tempoh pengundian namun mereka digalakkan datang pada waktu ditetapkan SPR yang bertujuan mengelakkan kesesakan dan mengurangkan tempoh menunggu untuk mengundi.

Menteri pertahanan itu turut menafikan berita yang tular menerusi media sosial kononnya ‘lockdown’ akan dilaksanakan selama empat hari di tiga kampung di Semporna iaitu Kampung Air, Kampung Bangau-Bangau dan Simunul di Semporna, Sabah.

“Saya tidak pernah umumkan perkara itu. Kalau tengok dari segi logiknya tidak pernah ada ‘lockdown’ empat hari, biasanya Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan selama 14 hari. Jadi itu adalah berita palsu,” katanya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.