Skip to main
Logo Malaysiakini

Husam hairan bagaimana PAS sokong BN, PN dalam pertembungan 11 kerusi

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Bekas Naib Presiden Amanah, Senator Husam Musa menyatakan rasa hairan bagaimana PAS membantu kempen sekutunya di Sabah termasuk di kerusi yang melibatkan pertindihan antara calon BN dan Perikatan Nasional (PN).

"Ajaib PAS ini dia sokong BN, dia sokong PN. Tempat yang BN dan PN bertanding macam mana PAS sokong? Saya fikir macam mana (cara) dia sokong di 11 kerusi BN lawan PN dan 11 kerusi sama dia kempen untuk BN dan PN. Tidakkah hebat," katanya dalam sesi dialog anjuran Amanah Wilayah Persekutuan, di Kuala Lumpur, malam tadi.

Dalam sesi dialog berkenaan, Husam menyentuh isu kerjasama antara PAS, Umno dan PN menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Husam berkata, PRN Sabah membuktikan kekalutan dalam PN apabila berlaku pertindihan kerusi yang ditandingi parti-parti dalam gabungan berkenaan.

"Apa yang saya nak beritahu adalah kekalutan dalam muafakat itu begitu terserlah, macam mana kita ada jaminan selepas PRU nanti kestabilan dapat diwujudkan.

"Itu baru kerusi, kemudian datang pula calon ketua menteri, dalam satu kelambu ada dua ketua, bukan satu bukit dua harimau, ini boleh tahan lagi.

"Calon daripada BN, daripada PN. Ini gambaran perebutan perdana menteri Malaysia nanti lebih sengit, tidak ada siapa boleh beri jaminan Muhyiddin Yassin akan jadi perdana menteri PN semula. Tidak akan.

"Ahmad Zahid (Hamidi) pun nak jadi perdana menteri, kalau dia (Umno) dapat kerusi lebih.

"Kelam-kabutlah negara kita, hancurlah negara kita, sengsaralah rakyat kita, miskinlah negara kita. Ini topik patut menjadi satu kerangka agenda yang kemas, yang konkrit di kalangan pemimpin PH dan rakan-rakan," ujarnya yang juga ketua Amanah kawasan Kota Bharu.

Sokong PAS bertanding semua kerusi di tiga negeri

Sementara itu Husam menyatakan sokongan terhadap hasrat PAS untuk bertanding di semua kerusi negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Husam berkata demikian merujuk cadangan yang dilontarkan Timbalan Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari pada Muktamar PAS di Kelantan, baru-baru ini.

"Saya sokong Pemuda PAS, saya sokongan cadangan Ahmad Fadhli, tapi Muktamar PAS ini biasalah kita tahu (perkara) yang lulus Muktamar kadang-kadang tak dibuat, yang tak lulus dia buat.

"PAS tolong ambil perhatian, saya sokong cadangan ini, saya Husam Musa menyokong PAS bertanding 50 kerusi semua sekali di Kelantan Terengganu dan Kedah.

"Ini pun muafakat, bukan bergaduh. Pasal selain daripada Kelantan, Terengganu dan Kedah, Umno bertanding semua. Muafakat juga, formula ini lagi senang. Janganlah pula tukar formula ini," katanya.

Terdahulu, cadangan Ahmad Fadhli ketika berucap pada Muktamar Pemuda PAS 12 September lalu menyentuh isu peruntukan kerusi pada PRN Sabah, di mana PAS tidak diberikan sebarang kerusi untuk bertanding oleh PN.

Anggota parlimen Pasir Mas itu turut mencadangkan supaya PAS dibenarkan bertanding di kesemua kerusi parlimen di Kelantan (14), Terengganu (8), Kedah (15) dan Perlis (3) pada PRU15 nanti.