Skip to main
Logo Malaysiakini

Covid 19: Dua calon Umno, seorang calon Warisan dikuarantin

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

PRN SABAH | Dua calon Umno dan seorang calon Warisan pada pilihan raya negeri Sabah menjalani kuarantin selepas mempunyai kontak dengan seorang pemimpin Umno yang diuji positif penyakit berkenaan.

Mereka adalah calon Umno di Dun Lumadan, Kamarlin Ombi; calon Umno di Dun Sindumin, Sani Miasin serta calon Warisan di Dun Sindumin, Dr Yusof Yacob, yang juga menteri pendidikan dan inovasi Sabah.

Ketiga-tiga mereka mempunyai kontak dengan anggota majlis tertinggi Umno, Mohd Razlan Rafii.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Kamarlin mengesahkan bahawa mereka sedang menjalani kuarantin.

Kamarlin berkata, Razlan telah ditugaskan untuk berkempen di Sindumin dan oleh itu mempunyai kontak dengan calon Umno dan Warisan tersebut.

"Dia tidak bertugas di kawasan saya, dia jaga Sindumin. Itulah sebabnya dia bertemu dengan Sani dan Yusof.

"Saya bertanding di Lumadan tetapi saya ada kontak dengan dia pada hari penamaan calon," katanya kepada Malaysiakini.

Kamarlin berkata dia juga ada makan bersama Razlan. 

Bagaimanapun, katanya pemimpin tertinggi Umno yang lain tiada ketika itu.

Ketiga-tiga calon berkenaan kini mesti menjalani kuarantin selama 14 hari.

Bagaimanapun, Kamarlin berkata dia tidak terlalu khuatir sekiranya kempennya terjejas kerana telah lama berkhidmat untuk penduduk di kawasannya.

"Saya telah menjadi wakil rakyat selama dua penggal. Orang sudah mengenali saya.

"Oleh itu, kami sudah bersedia dari awal..saya telah melakukan yang terbaik di Lumadan," kata ketua bahagian Umno Sipitang yang juga penyandang Adun Lumadan.

Kamarlin dicabar oleh lapan calon lain, termasuk Ag Ku Zaidi Pg Wahab dari Warisan dan sekutu gabungannya sendiri dari PBS, Ruslan Muharam.

Di Sindumin, Yusof merupakan penyandang jawatan di Dun berkenaan, sementara Sani adalah pencabar utamanya.

Razlan pertama kali dilaporkan positif Covid-19 pada 20 Sept lalu.

Pada masa itu, Razlan berkata, keputusan positif Covid-19 itu diketahui daripada kit ujian pantas (RTK) dan dia melakukan ujian Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) untuk mendapatkan pengesahan.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, ketika dihubungi, memberitahu Malaysiakini bahawa Razlan disahkan positif ujian kali kedua.

"Dia sekarang dikuarantin di Hospital Kota Kinabalu. Semua yang lain diteruskan seperti biasa," katanya.

Terdahulu hari ini, seorang lagi pemimpin Umno, Shahril Hamdan, yang merupakan timbalan ketua pemuda parti itu, dikesan positif Covid-19 apabila kembali ke Semenanjung selepas turun berkempen di Sabah.

Sabah mengalami lonjakan kes Covid-19 pada bulan lalu.

Sehingga semalam, negeri itu merekodkan 625 kes aktif, kebanyakannya di Tawau (435 kes), Lahad Datu (91) dan Semporna (47).