KKM kesan kluster kelapan di Sabah
Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan satu lagi kluster baharu iaitu yang kelapan di Sabah, dikenali Kluster Udin, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata kluster itu dikesan di Tawau dengan kes indeks (kes ke-9894) melibatkan wanita tempatan berumur 72 tahun hasil saringan warga emas di Klinik Kesihatan Merotai, Tawau pada 12 Sept.
Susulan itu, saringan kontak rapat dijalankan dan mengesan dua lagi kes positif semalam (22 Sept).
“Kedua-dua kes positif ini melibatkan warganegara Filipina. Mereka tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Tawau untuk rawatan.
“Sehingga kini, sejumlah 128 individu telah disaring dengan tiga dikesan positif COVID-19 (termasuk kes indeks), 71 negatif dan 54 masih menunggu keputusan. Punca jangkitan masih dalam siasatan.” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengenai perkembangan kluster aktif, empat kluster lain di Sabah merekodkan peningkatan kes baharu iaitu Kluster Benteng LD, Kluster Bangau-Bangau, Kluster Laut, dan Kluster Pulau selain satu di Kedah melibatkan Kluster Sungai.
Katanya Kluster Benteng LD merekodkan 105 kes dan menjadikan jumlah kes positif kluster itu kini 729 kes; pertambahan lapan kes masing-masing bagi Kluster Bangau-Bangau (13 kes) dan Kluster Laut (12 kes); serta pertambahan dua kes Kluster Pulau (37 kes), manakala empat kes baharu bagi Kluster Sungai (87 kes).
Susulan peningkatan kes di Sabah, Dr Noor Hisham berkata KKM teruskan pemantapan kesiapsiagaan menerusi 23 makmal hospital dan 26 makmal klinik kesihatan KKM yang menjalankan ujian Rapid Test Kit-Antigen (RTK-Ag).
Selain itu, KKM juga menambah kapasiti makmal ujian real-time Reverse-Transcription Polymerase Chain Reaction (rRT-PCR) yang menjadikan jumlah kapasiti ujian harian makmal sampel COVID-19 di Sabah ditingkatkan kepada 2,500 ujian sehari.
“Sekiranya ujian COVID-19 di Sabah mencecah 2,500 ujian sehari, sampel selebihnya dihantar Semenanjung menggunakan perkhidmatan Tentera Udara Diraja Malaysia serta perkhidmatan kurier swasta ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).
“KKM sedang berusaha membangunkan sebuah makmal molekular di Hospital Tawau, selain menunggu penghantaran kaset GeneXpert COVID-19 daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia bagi kegunaan di Hospital Tawau, Hospital Sandakan dan Hospital Lahad Datu.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai