Skip to main
Logo Malaysiakini

AMK: Poster Anwar angkat sumpah PM palsu

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pemuda PKR (AMK) memaklumkan penyebaran poster palsu yang mendakwa upacara mengangkat sumpah jawatan perdana menteri ke-9 akan diadakan di Istana Negara, esok.

Setiausahanya, Ahmad Syukri Razab berkata, poster yang memaparkan gambar presidennya, Anwar Ibrahim itu turut mengandungi logo dan tulisan 'AMK'.

"Sila ambil maklum bahawa poster tersebut adalah palsu dan logo yang digunakan bukan logo rasmi AMK Malaysia.

"AMK menyeru agar semua pihak tidak menyebarkan poster berkenaan yang mungkin dihasilkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab bagi mengganggu proses transisi kerajaan persekutuan yang sedang berjalan," kata Syukri dalam satu kenyataan.

Anwar semalam membuat kejutaan apabila mengumumkan bahawa dia mempunyai sokongan majoriti ahli parlimen untuk menubuhkan kerajaan persekutuan.

Ahli Parlimen Port Dickson itu membuat pengumuman itu di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur.

Dalam sidang medianya, Anwar berkata majoriti yang diperolehi adalah konklusif dan bukannya majoriti tipis.

Mengulas lanjut, Syukri berkata AMK menjunjung penuh kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam memutuskan isu pemilihan perdana menteri.

"Ini selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan berjaya memperolehi majoriti selesa bagi membentuk kerajaan persekutuan yang baru," katanya.