Skip to main
Logo Malaysiakini

KKM: 71 kes baru, 63 kes di Sabah

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Terdapat 71 kes baru yang telah dilaporkan setakat 12 tengah hari ini yang mana terdapat dua kes import dan selebihnya 69 kes penularan tempatan.

Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 10,576 kes.

"Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 777 kes," katanya.

Daripada 69 kes baru, Sabah merekodkan 63 kes baru hari ini, walaupun Kluster Benteng LD hanya mencatatkan satu kes baru hari ini.

Kluster Benteng LD merupakan kluster kedua terbesar di Malaysia dan menunjukkan peningkatan beberapa hari lalu.

Daripada 10,521 yang telah diuji masih terdapat 1,754 individu yang masih menunggu keputusan ujian dalam Kluster Benteng LD. 

Jumlah kes dalam Kluster Benteng LD kini berjumlah 730.

Walaupun Kluster Benteng LD nampaknya perlahan hari ini, kluster lain di Sabah melihat kenaikan dua angka dalam jumlah kes.

Kluster Bangau-Bangau di Semporna mencatatkan 47 kes baru hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan 60 kes.

Kluster Laut pula bertambah 10 kes kepada 22 kes dan Kluster Benteng LD naik satu kes kepada 730 kes.

Bagi Kluster Sungai, terdapat empat kes baru dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kes positif kluster ini meningkat kepada 91 kes.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata nilai Rt atau R naught (Ro) iaitu kebolehjangkitan sesuatu virus pada permulaan sesuatu wabak dalam masyarakat meningkat kembali semalam, kepada 1.34 iaitu melebihi 1.0 dengan Sabah mencatat 1.37 manakala di Kedah adalah 1.15. 

Tiada kematian direkodkan hari ini dan 64 kes pulih manakala enam pesakit dirawat di ICU dengan dua memerlukan alat bantuan pernafasan.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.