'Tak ada otak' tuduh Warisan bagi IC pada PTI, kata Azis
Presiden Star Jeffrey Kitingan dan Presiden PCS Anifah Aman mendakwa Warisan bersubahat dalam skim memberikan kerakyatan secara tidak sah kepada pendatang tanpa izin.
Walaupun Parti Cinta Sabah dan Parti Solidariti Tanah Airku (Star) bukan dari kem sama tetapi mereka mempunyai satu kesamaan.
Kedua parti itu menuduh Warisan bersubahat dalam skim memberikan kerakyatan secara tidak sah kepada pendatang tanpa izin.
Naratif yang digunakan kedua pemimpin kelihatan serupa. Mereka mendakwa terjadi kebakaran di perkampungan air yang diduduki oleh pendatang tanpa izin.
Anehnya, dakwa kedua pemimpin ini, penduduk akan menyelamatkan perabot mereka dan bukan dokumen pengenalan mereka.
Selepas itu, dakwa mereka lagi, mangsa kebakaran akan meminta kerajaan surat beranak dan kad pengenalan.
'Selamatkan TV, bukan IC'
Malaysiakini memerhatikan naratif ini digunakan oleh Presiden Star Jeffrey Kitingan ketika berkempen di Tambunan pada 21 September.
Kitingan mendakwa selepas Warisan mengambil alih kerajaan Sabah pada 2018 banyak kebakaran rumah setinggan di perkampungan air.
"Kemudian yang muncul Jabatan Pendaftaran Negara bukan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Apa yang hilang (dalam kebakaran) adalah kad pengenalan dan sijil kelahiran.
"(Mangsa) dapat selamatkan televisyen, baju dan tempat tidur. Kenapa mereka tidak menyelamatkan kad pengenalan atau sijil kelahiran?
"Inilah keutamaan (Warisan). Inilah warisan mereka. Mereka menyelamatkan 'PTI' yang sepatutnya diusir, ditangkap atau dipenjarakan," dakwa Kitingan.
Istilah "PTI" (pendatang tanpa izin) sering kali digunakan dalam kempen pilihan raya.
Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) Anifah Aman pula mengaitkan kisah yang sama ketika berceramah di Bingkor hari ini.
Anifah berkata mangsa kebakaran PTI mungkin menjadi warganegara Malaysia jika mereka diberikan kad pengenalan dan sijil kelahiran.
Bercakap kepada Malaysiakini kemudian, Anifah berkata menjadi tanda tanya apabila mangsa kebakaran didakwanya memilih untuk menyelamatkan perabot dan peti ais berbanding dokumen pengenalan diri.
"Di sesetengah tempat kenderaan Jabatan Pendaftaran Negara muncul. Kenapa begitu? Ramai orang membuat spekulasi," dakwa Anifah (gambar, bawah) lagi.
Ketika dihubungi Ketua Pemuda Warisan Azis Jamman, yang juga bekas timbalan menteri dalam negeri berkata dakwaan oleh PCS dan Star tidak berasas.
Beliau menjelaskan hanya kerajaan persekutuan yang berkuasa mengeluarkan kad pengenalan dan sijil kelahiran bukan ketua menteri Sabah.
"Kerajaan persekutuan adalah Perikatan Nasional bukan Warisan.
"Hanya orang tiada otak, macam pemimpin atau penyokong Star dan PCS yang akan menuduh kami begitu," katanya.
Warisan berdepan tuduhan bahawa ahli dan penyokong parti itu terdiri daripada PTI.
Pada masa lalu, dakwaan sebegini pernah muncul dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah menyangkal berlakunya pemberian kad pengenalan kepada warga asing di Sabah.
Pengarah JPN Sabah Ismail Ahmad pada Januari 2019 dilaporkan Utusan Borneo berkata proses pembuatan kad pengenalan adalah dilaksanakan berdasarkan perundangan sedia ada di dalam negara dan bukan diberikan secara sewenangnya sepertimana yang didakwa pihak terbabit.
"Ada yang mendakwa JPN mengeluarkan kad pengenalan secara berleluasa kepada warga asing terutamanya membabitkan kejadian kebakaran rumah bermula tahun lalu di kawasan perkampungan air.
"Saya secara tegas menyangkal tohmahan itu kerana proses penggantian serta pengeluaran kad pengenalan kepada mangsa kebakaran adalah berdasarkan data sedia ada sebelum ini.
"Kelulusan pengeluaran kad pengenalan juga berdasarkan beberapa aspek termasuk laporan pengesahan dan kelulusan ndaripada pihak bomba serta polis yang disertakan bersama oleh pemohon," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai