Skip to main
Logo Malaysiakini

Musa akhirnya hadir berkempen di Sg Manila

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Bekas ketua menteri Sabah Musa Aman akhirnya kembali ke Sungai Manila menjelang hari pengundian pilihan raya Sabah esok.

Musa hadir bagi mengajak penyokong BN untuk menolak calon Warisan Plus dan ketua menteri sementara Shafie Apdal.

Dalam ucapannya, Musa mendakwa sepanjang kempen Shafie telah berusaha untuk menutup kelemahan Warisan dengan meletakkan kesalahan kepadanya.

"Dia (Shafie) lembab, dia tak boleh mentadbir negeri. Cari kesalahan, siapa salah? Musa Aman!

"Sekarang dengar, yang you (Shafie) duduk office yang besar itu, yang tersergam indah itu, siapa yang bangunkan? Kita (BN) buat," kata Musa disambut sorakan lebih 200 penyokong BN di Sungai Manila.

Sungai Manila merupakan kerusi baru yang dibentik dari Sungai Sibuga, kerusi yang dipegang Musa sejak tahun 1994.

Sungai Manila, Sungai Sibuga dan Gum-Gum terletak di dalam parlimen Libaran. Musa juga pernah memimpin Umno Libaran selama lebih dari 20 tahun sebelum digantikan oleh Suhaimi Nasir pada 2018.

Hadir dengan penuh semangat, Musa dalam kempennya untuk calon BN Sungai Manila, Mokran Ingkat membidas Shafie dengan mendakwa presiden Warisan itu menaikkan nama atas projek-projek pembangunan yang dimulakan kerajaan terdahulu.

"Kita (BN) buat macam-macam...Apa dia buat? Apa Warisan buat? Dia ada jawatan, 'tukang rasmi'...nombor dua, 'tukang potong riben'...yang bangunkan kita, dari dana kita, yang usaha kita.

"Ini lah orang tua kata, lembu punya susu sapi dapat nama," katanya.

Musa juga menegaskan bahawa memandangkan dia tidak lagi menjadi calon, tidak ada alasan untuk Shafie menyerangnya.

"Mungkin dia takut akan bayang-bayang saya," kata Musa.

Selain Mokran, Musa juga dijadualkan akan berkempen untuk calon BN Sungai Sibuga, Mohamad Hamsan Awang Supain.

Musa merupakan individu utama di sebalik cubaan rampasan kuasa dari Warisan yang gagal dan seterusnya mencetuskan pilihan raya negeri.

Musa sebelum ini memberi gambaran akan kembali ke Sungai Manila untuk bertanding meskipun tidak tersenarai sebagai calon BN.

Bagaimanapun pada hari pencalonan, Musa tidak hadir di mana-mana pusat pencalonan.

Namun, Musa kemudian muncul dalam jejak kempen untuk calon PN dan BN di seluruh Sabah, termasuk pada majlis yang dihadiri oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Musa mengekalkan kerusi Sungai Sibuga setelah Mahkamah Tinggi Sandakan menolak dengan alasan teknikal petisyen pilihan raya yang diajukan oleh calon Warisan Asmara Abdul Rahman untuk menjadikan keputusan itu batal dan tidak sah.

Dalam petisyen itu, Asmara dilaporkan menuduh berlaku kecurangan apabila terdapat kelewatan yang disengajakan untuk menandatangani Borang 14 setelah pengiraan undi.