Skip to main
Logo Malaysiakini

Virus mutasi Covid-19 mudah jangkit dikesan di dua lagi kluster

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah mengesan virus mutasi D614G dalam sampel Covid-19 yang diambil daripada dua kluster tambahan, menjadikan jumlah keseluruhan lima kluster setakat ini.

Mutasi ini dipercayai oleh beberapa pakar menjadikan kadar kebolehjangkitan Covid-19 lebih menular daripada virus yang asli.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini memaklumkan IMR telah mengasingkan 32 sampel virus itu.

Sampel ini diambil dari Kluster Benteng LD (23 sampel), Kluster Sivagangga (empat sampel), Kluster Tawar (tiga sampel), Kluster Sungai (satu sampel) dan Kluster Bukit Tiram (satu sampel).

"Seperti disyaki terdapat mutasi jenis D614G yang telah dikesan kepada kesemua 32 virus Covid-19 ini.

"Kajian susulan juga dijalankan bagi mengkaji kaitan genetik antara virus-virus yang diasingkan ini dan membandingkan dengan virus yang dikesan sebelum ini pada Kluster PUI Sivagangga dan Kluster Tawar

"Seperti disyaki juga, kesemua virus yang diasingkan bagi kluster-kluster di Kedah (Kluster PUI Sivagangga, Kluster Tawar dan Kluster Sungai) adalah saling berkait dan besar kemungkinan adalah berasal dari sumber virus yang sama.

"Kesemua 23 virus Covid-19 dari Kluster Benteng LD pula didapati saling menyerupai namun tidak berkait dengan virus Covid-19 yang dijumpai di Kedah, meskipun kesemuanya mempunyai mutasi D614G," katanya pada hantaran Facebook hari ini.

Beliau berkata dapatan ini hasil daripada kajian awal dan beberapa kajian susulan sedang dijalankan.

Sementara itu, beliau berkata penemuan itu bermaksud masyarakat perlu lebih berhati-hati mencegah penyebaran penyakit ini, kerana virus jenis mutasi ini lebih mudah berjangkit dan tersebar.

[Berita penuh menyusul]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.