Skip to main
Logo Malaysiakini

2 NGO Indonesia tuntut keadilan buat Adelina

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Dua NGO Indonesia menuntut keadilan buat Adelina Lisao setelah Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi untuk membebaskan Ambika daripada tuduhan membunuh pembantu rumah itu.

International Migrants Alliance (IMA) dan Jaringan Buruh Migran Indonesia (JBMI) menggesa orang ramai agar menyokong petisyen itu yang menggesa kes Adelina dibuka semula.

Dua NGO itu mendakwa Adelina - seorang warga Indonesia - sebagai mangsa kemiskinan dan pemerdagangan manusia.

"Dia dibawa ke Malaysia dan tidak dibayar atas kerjanya.

"Dia tidur di tempat sama dengan anjing. Dia digigit. Dia tidak diberi makan secukupnya dan didera oleh majikan dan anaknya.

"Selepas diselamatkan dan dibawa ke hospital, Adenila mati akibat kecederaan dan kurang nutrisi," kata NGO itu dalam kenyataan.

Untuk rekod, Peguam Negara Idrus Harun sebelum ini berkata pihak pendakwaan akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.

Ia susulan petisyen yang dilancarkan Tenaganita yang menggesa pendakwaan baru dikenakan terhadap majikan Adelina, Ambika MA Shan.

Dalam pada itu, dua NGO itu menggesa majikan Adenlia agar dihadapkan hukuman yang berat.

Menurut mereka, penting untuk orang ramai menunjukkan solidariti terhadap Adelina dengan menandatangani petisyen tersebut.

Mereka turut menggesa orang ramai mengambil gambar bersama poster dengan tulisan "Justice for Adelina" serta menyertakan tanda pagar #Justice4Adelina dan #MigranJugaManusia.

Adelina mengalami kecederaan akibat didera secara fizikal dan dibiarkan tidur di tempat letak kereta di rumah majikannya sebelum mangsa diselamatkan dengan campur tangan Anggota Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim pada 10 Feb 2018.

Bagaimanapun wanita berusia 26 tahun itu meninggal dunia akibat kecederaan organ pada hari berikutnya selepas dimasukkan ke Hospital Bukit Mertajam.

Ambika dan anak perempuannya kemudian didakwa di mahkamah, tetapi pihak pendakwaan menggugurkan tuduhan tersebut pada April tahun lalu.

Pihak pendakwaan dilaporkan memohon Ambika dilepaskan tanpa dibebaskan , tetapi mahkamah sebaliknya memberikan pembebasan penuh terhadap tertuduh.

Pejabat Peguam negara kemudian merayu keputusan tersebut, manakala sumber yang rapat dengan peguam negara ketika itu, Tommy Thomas mendakwa keputusan untuk menggugurkan kes itu dibuat tanpa berunding dengan Thomas.