Skip to main
Logo Malaysiakini

Zahid sekali lagi didapati negatif Covid-19

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi boleh menarik nafas lega selepas ujian saringan Covid-19 menunjukkan dia tidak dijangkiti wabak itu.

Zahid yang merupakan kontak rapat kepada calon BN DUN Pitas, Sufian Abd Karim yang disahkan positif ketika kempen PRN Sabah sebelum ini, kini menjalani kuarantin di rumah.

"Saya sedang dikuarantin di rumah. Pagi ini saya didatangani sekali lagi oleh dua pegawai Kementerian Kesihatan secara mengejut. Ujian rapid test kit (RTK) telah dilakukan.

"Ujian telah selesai, keputusannya negatif. Alhamdulillah," katanya di Twitter.

Secara keseluruhan, ini barangkali kali ketika Zahid membuat ujian Covid-19 selepas menyertai kempen di Sabah dua minggu mutakhir ini.

Selain Sufian, turut disahkan positif adalah Naib Ketua Pemuda Umno, Shahril Hamdan dan Anggota Majlis Tertinggi Mohd Razlan Rafii. Kedua-duanya dijangkiti di Sabah.

Antara yang turut dilihat berkempen bersamanya adalah Menteri Luar Hishammuddin Hussein, Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin, Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Menteri Besar Johor Hasni Mohammad.

Setiausaha Agung BN Annuar Musa turut diarahkan menjalani kuarantin kerana dikenal pasti sebagai kontak rapat Razlan.

Sebelum ini, Asyraf memaklumkan dia sedang menjalani kuarantin di rumah dan didapati negatif selepas menjalani dua ujian. Dia dijangka membuat satu lagi ujian esok.