KKM tambah petugas, peralatan di KLIA
Jumlah petugas Kementerian Kesihatan (KKM) dan peralatan saringan COVID-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 akan ditambah bagi mengurangkan kesesakan proses saringan terhadap individu yang tiba dari Sabah.
KKM menerusi Twitter memaklumkan susulan terdapat aduan kesesakan proses saringan COVID-19, Menterinya Datuk Seri Dr Adham Baba mengarahkan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor untuk menambah bilangan petugas dan peralatan bagi melancarkan proses saringan.
“Masalah kesesakan akan diselesaikan segera dengan penambahan peralatan dan petugas,” katanya.
Terdahulu, Dr Adham bersama Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah meninjau proses saringan COVID-19 yang dilakukan kakitangan KKM di KLIA dan klia2, awal pagi tadi.
Sementara itu, Malaysia Airports menerusi ciapan di Twitter, merakamkan penghargaan kepada Dr Adham dan Dr Noor Hisham terhadap dedikasi dan komitmen mereka bagi memastikan semua langkah keselamatan dan prosedur ujian berjalan lancar.
Pada Sabtu, Dr Noor Hisham berkata bermula semalam hingga 10 Okt, individu yang pulang dari Sabah diwajibkan menjalani saringan COVID-19 serta diarahkan menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO).
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai