Skip to main
Logo Malaysiakini

Covid-19: Hisham kontak rapat kes positif, dua MB dikuarantin

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Menteri Luar Hishammuddin Hussien diarahkan menjalani kuarantin wajib di rumah setelah dikenal pasti sebagai kontak rapat calon BN Pitas, Sufian Abdul Karim.

Pada hantaran di media sosial, Hishammuddin berkata telah pergi ke Pitas untuk membantu kempen Sufian yang pada 26 September dilaporkan positif Covid-19.

"Hari ini saya telah diarah oleh Kementerian Kesihatan Malaysia agar jalani kuarantin diri di rumah biarpun saringan awal yang dibuat ke atas saya sebaik tiba dari Sabah tempoh hari negatif," katanya.

KKM menghendaki semua kontak rapat pesakit Covid-19 dikuarantin wajib di rumah untuk tempoh inkubasi penyakit ini selama 14 hari.

Mulai semalam, pelancong yang tiba dari Sabah juga diwajibkan menjalani ujian wajib dan dikuarantin sehingga keputusan ujian diketahui.

Sementara itu, Hishammuddin berkata "sebahagian daripada jentera BN telah disahkan positif."

"Saya harap semua yang positif ini tabah dan segera beroleh kesembuhan. Biarpun semasa kempen tempoh hari setiap SOP telah dipatuhi namun kita berdepan dengan virus yang tidak boleh dilihat.

"Risiko dijangkiti tetap tinggi. Sebab itu saya kagum, biarpun sedar risiko ini, namun ia tidak sedikitpun melemahkan semangat jentera BN untuk berkorban demi agama, bangsa dan negara,” katanya.

Terdahulu dilaporkan Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu dan Menteri Besar Perlis Azlan Man sedang menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari.

Azlan pulang dari Sabah pada 26 Sept, manakala Faizal pula telah diuji negatif Covid-19 sekembalinya dari negeri itu pada 20 Sept lalu.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.