Skip to main
Logo Malaysiakini

Datuk bandar menang besar pilihan raya PBT 'dari dalam kubur'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

GLOBAL | Walaupun sudah kaku tidak bernyawa seorang ahli politik mencatat kemenangan besar dalam pilihan raya kerajaan tempatan di Romania, lapor media hari ini.

Aliman Ion merupakan Datuk Bandar Deveselu yang bertanding untuk mempertahankan jawatannya buat penggal ketiga, namun meninggal duniaa pada 15 Sept lalu akibat jangkitan Covid-19.

Bagaimanapun disebabkan kertas undi sudah disiapkan lebih awal, lapor BBC, nama Ion tetap tertera untuk pengundi di Deveselu, sebuah kawasan terletak di selatan Romania.

Selepas proses pengiraan undi dijalankan Ion didapati memperoleh 64 peratus undi berbanding calon lain.

Bagaimanapun Reuters melaporkan, untuk membolehkan datuk bandar baru dilantik pihak berkuasa akan mengadakan pilihan raya baru di Deveselu.

Terdahulu, satu video tular di media sosial menunjukkan sekumpulan besar penduduk Deveselu berkumpul di sekitar kubur Ion untuk meraikan kemenangannya.

"Ini adalah kemenangan anda," kata seorang lelaki dalam video berkenaan.

"Dia datuk bandar sebenar bagi kami," kata seorang wanita lain kepada media tempatan ProTV, lapor Reuters.

Bukan kali pertama berlaku

Berdasarkan keterangan orang ramai dapat difahami mengapa Ion tetap menjadi pilihan mereka meskipun dia sudah meninggal dunia.

Seorang daripada mereka berkata semasa hidupnya Ion sentiasa memihak kepada orang awam dan sentiasa menghormati undang-undang.

"Saya tidak fikir kami akan dapat seorang datuk bandar seperti dia lagi," tambah wanita berkenaan.

Ion, 56, merupakan bekas pegawai tentera laut Romania dan menganggotai Parti Sosial Demokrat (PSD). Kejayaannya itu menjadi berita gembira buat PSD yang merupakan pertubuhan politik yang cenderung berhaluan kiri.

Secara keseluruhan PSD kalah kepada parti USR-PLUS yang berhaluan tengah serta PNL yang berhaluan kiri di beberapa pemilihan peringkat kerajaan tempatan.

PNL merupakan parti yang menguasai kerajaan minoriti Romania.

PSD disingkirkan dari kekuasaan tahun lalu melalui undi tidak percaya di parlimen ketika tunjuk perasaan besar-besaran dan pertembungan dengan Kesatuan Eropah mengenai reformasi kehakiman dan rasuah berlangsung.

Kemenangan Ion bukanlah yang pertama bagi calon Romania yang telah meninggal dunia.

Pada 2008, Neculai Ivascu dilantik semula sebagai Datuk Bandar Voinesti di timur laut negara itu ketika dia sudah meninggal dunia akibat penyakit hati.

Pegawai pilihan raya kemudian mengumumkan pesaingnya, Gheorghe Dobrescu, adalah pemenang sekali gus menerima kritikan PSD.