Skip to main
Logo Malaysiakini

'Wawasan Kemakmuran Bersama mungkin diteliti semula ekoran Covid-19'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pelaksanaan rangkaian inisiatif Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 mungkin perlu diteliti semula dengan mengambil kira kesan wabak Covid-19, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata, seperti negara lain, ekonomi Malaysia juga menerima kesan akibat wabak tersebut dan kini sedang dalam proses pemulihan.

"Situasi ini pastinya memberikan kesan kepada unjuran pencapaian objektif WKB2030.

“Saya merasakan bahawa pelaksanaan inisiatif di bawah WKB2030 seperti yang ditentukan di peringkat awal wawasan ini digubal mungkin perlu diteliti semula dengan mengambil kira kesan pandemik Covid-19," katanya.

Muhyiddin berkata demikian ketika menyampaikan ucap tama sempena Sesi Balai Rakyat Makmur Bersama, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Menteri Kanan Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohd Redzuan Md Yusof, Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah, Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Masa Depan Malaysia (Masa) Mohd Nizam Mahshar.

WKB 2030 diumumkan pentadbiran PH dan merupakan hala tuju ekonomi negara bagi tempoh 10 tahun bermula 2021-2030.

WKB 2030 akan dimulakan seiring dengan Belanjawan Kemakmuran Bersama 2020 yang akan diumumkan tidak lama lagi serta dirancang untuk dilaksanakan sepenuhnya dalam Rancangan Malaysia ke-12 dan ke-13.

Menurut Muhyiddin, kesan wabak itu terhadap beberapa teras strategik WKB2030 kini sedang ditangani menerusi inisiaitif Pakej Rangsangan Eknomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

Kedua-dua inisiatif itu diwujudkan kerajaan bagi mengurangkan kesan wabak tersebut terhadap rakyat dalam soal ekonomi.

“Kerajaan melalui geran khas Prihatin bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menyalurkan bantuan kewangan secara sekali untuk meringankan beban perniagaan mereka yang terjejas akibat wabak Covid-19.

“Sebanyak RM1.63 bilion disalurkan kepada 544,688 PKS mikro yang layak. Selain itu, sebanyak RM9.57 bilion diluluskan kepada 20,769 PKS yang layak di bawah program Kemudahan Bantuan Khas (SRF) dan RM28.7 disalurkan kepada 171 PKS menerusi program Penjana Pembiayaan PKS (SPF)," katanya.

Selain itu, katanya lagi, kira-kira 300 permohonan diterima untuk inisiatif pembiayaan mudah bumiputera Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Permodalan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM173.6 juta

Sementara itu, menyentuh soal rungutan akibat permohonan lanjutan tempoh moratorium ditolak, Muhyiddin meminta jasa baik pihak perbankan untuk memberikan pertimbangan bagi mengurangkan tekanan pihak yang terlibat.

“Masih ada yang menuntut untuk disambung tempoh moratarium, gabenor Bank Negara telah maklumkan kepada saya dalam mesyuarat semalam, lebih 98 peratus yang layak telah mendaftar.

“Tetapi, mungkin yang tak dapat (layak) itu perlukan bantuan lebih.

“Jadi, saya minta bank memberikan pertimbangan untuk mengurangkan tekanan bagi membantu mereka,” katanya lagi.