Skip to main
Logo Malaysiakini

Covid-19: Kes positif di Indonesia kini melebihi 282,000

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

GLOBAL | Kerajaan Indonesia kini menjadikan hotel di Jakarta sebagai tempat kuarantin dan merawat pesakit Covid-19 berikutan peningkatan drastik jangkitan serta hospital di kawasan itu dilaporkan mula mencapai kapasiti penuh.

Ketua Bidang Kesihatan Masyarakat Daerah Jakarta, Fify Mulyani, dalam siaran di YouTube rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia berkata Hotel Ibis Style Hotel di Mangga Dua, Jakarta Utara dan U Stay Hotel di Mangga Besar, Jakarta Barat, kini menjadi pusat kuarantin dan rawatan sejak semalam.

Tanpa menyatakan jumlah pesakit yang sedang dirawat, Fify berkata Hotel Ibis Style boleh menampung 212 pesakit manakala 140 lagi di Hotel U Stay.

Sementara itu Ketua Persatuan Hotel dan Restoran Indonesia, Krisnadi, dalam kenyataannya berkata 30 hotel di Jakarta dikenal pasti untuk dijadikan hospital sementara bagi merawat dan tempat kuarantin pesakit Covid-19.

Pada 14 Sept lepas, Gabenor Jakarta Anies Baswedan menyatakan 67 hospital di Jakarta berada di tahap lebih 70 peratus penggunaan peralatan, katil serta kemudahan perubatan berikutan trend kes positif baharu di Jakarta secara puratanya hampir 1,000 kes setiap hari sejak akhir Ogos lepas.

Berdasarkan data yang disiarkan BNPB dalam laman Twitter rasminya hari ini, sebanyak 1,238 kes positif baru dilaporkan di daerah Jakarta dalam tempoh 24 jam lepas.

Daerah Jakarta mencatatkan jumlah kes keseluruhan tertinggi di republik Indonesia iaitu 72,577 kes dengan kematian keseluruhan 1,716 orang.

Berdasarkan data BNPB, Indonesia hari ini mencatatkan 4,002 jangkitan baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah kes keseluruhan di republik itu kini 282,724 kes.

Sebanyak 132,496 lagi pesakit masih dalam pemantauan virus berkenaan di seluruh Indonesia.

Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini juga, 128 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah kematian kumulatif di republik itu kini 10,601 orang.

- Bernama