Skip to main
Logo Malaysiakini

Individu dikuarantin di rumah boleh mohon masuk pusat kuarantin

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Individu yang menjalani kuarantin rumah tapi tidak mempunyai kediaman yang sesuai untuk melakukannya boleh memohon untuk menggunakan kemudahan kuarantin kerajaan.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah yang bercakap mengenai perkara itu di sidang akhbar mingguan Kementerian Kesihatan mengenai keadaan Covid-19 di Putrajaya hari ini.

"Bagi mereka yang diarah kuarantin kendiri di rumah tetapi tidak mempunyai ruang yang sesuai untuk tujuan itu, mereka boleh membuat permohonan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk dipertimbangkan," katanya.

Noor Hisham menjawab pertanyaan mengenai apakah individu yang diuji negatif dengan Covid-19 dan tidak memiliki sejarah kontak rapat dengan pesakit positif dapat dimasukkan ke pusat kuarantin yang diwartakan oleh kerajaan.

Ini kerana ada yang menimbulkan kekhuatiran mengenai kuarantin di rumah, terutama mereka yang tinggal bersama orang tua dan anak kecil.

Sabtu lalu, kerajaan mengumumkan bahawa semua individu yang tiba dari Sabah mesti diuji untuk Covid-19.

Noor Hisham mengatakan bahawa langkah itu diperlukan susulan lonjakan kes Covid-19 yang berkaitan dengan indvidu yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah.

Mereka kemudian dikehendaki menjalani kuarantin di rumah sehingga hasil ujian diperoleh, walaupun tidak sampai 14 hari penuh seperti yang diperlukan untuk individu pulang dari luar negara.

Menurut garis panduan KKM untuk menangani kes yang disyaki Covid-19, seseorang mesti memenuhi beberapa kriteria untuk dibenarkan menjalani kuarantin di rumah.

Antara kriteria itu termasuk bahawa orang itu mempunyai bilik tidur yang berasingan, dan seeloknya bilik mandi berasingan, akses kepada makanan dan keperluan lain; dan dapat menjauhkan diri dari individu lain dalam rumah yang berisiko tinggi seperti anak kecil, warga emas, wanita hamil dan orang yang menghidap penyakit kronik.

[Baca berita penuh]