PKPD Bersasar 4 daerah di Sabah mungkin diperluas ke kawasan lain
Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Bersasar yang dikenakan ke atas empat daerah di Sabah mungkin diperluas untuk merangkumi kawasan lain di negeri itu, kata Kementerian Kesihatan.
Ketua Pengarahnya Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu perkara ini pada sidang media di Putrajaya hari ini.
"Setakat ini kita hanya mengenakan PKPD Bersasar ke atas empat daerah. Tetapi ada kemungkinan langkah ini juga akan diluaskan merangkumi daerah lain.
"Kita akan melihat (berdasarkan) perkembangan di empat daerah itu dalam masa satu atau dua hari akan datang," katanya.
Noor Hisham berkata demikian ketika menyentuh tentang langkah yang diambil kerajaan untuk menangani penularan Covid-19 di Sabah.
Kerajaan telah mengenakan perintah PKPD Bersasar mulai hari ini di empat daerah di pantai timur Sabah, iaitu Kunak, Lahad Datu, Tawau dan Semporna.
Perkembangan ini hadir selepas daerah berkenaan menyumbang kepada lonjakan kes positif Covid-19 baru sejak awal bulan ini.
Menurut Noor Hisham, penilaian risiko oleh KKM bagaimanapun mendapati bahawa penularan wabak berkenaan di Sabah masih dalam kawalan.
Tambah Noor Hisham, PKPD Bersasar dikenakan agar pihak berwajib termasuk pegawai kesihatan dapat memberikan lebih banyak fokus untuk melakukan aktiviti pengesanan kes aktif dan melaksanakan langkah bagi mengekang penularan Covid-19.
Kegiatan tersebut dilakukan di kawasan yang telah dikenal pasti mempunyai banyak kes.
"Jadi mulai hari ini, kita telah melaksanakan PKPD Bersasar. Meskipun perintah itu dikenakan di daerah-daerah tertentu, tumpuan kita adalah pada kampung-kampung yang telah dikenal pasti.
"Contohnya Kampung Sri Tanjong di Tawau dan Kampung Bangau-bangau di Semporna, di mana kita akan memberikan tumpuan 100 peratus.
"Seperti di Kota Setar, Kedah, ada 28 kampung. Kita tidak memfokuskan pada semua 28 kampung, tetapi kita membuat penilaian risiko dan melakukan kawalan sempadan dan sekatan jalan raya," katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai pilihan raya negeri Sabah, apakah KKM berpuas hati dengan tahap kepatuhan individu yang terlibat dalam pilihan raya, dia mengatakan bahawa mereka hanya akan mendapat laporan penuh dalam tempoh dua minggu.
"Sebelum ini, pilihan raya kecil Chini dan Slim tidak menyebabkan kluster jangkitan. Ini bererti mereka telah mematuhi SOP.
"Kami mungkin hanya mengetahui laporan lengkap mengenai kepatuhan pada pilihan raya Sabah dalam dua minggu.
"Mungkin kita dapat tingkatkan dari segi bagaimana kempen dijalankan dan pematuhan SOP. Masalahnya sekarang adalah dengan ketidakpatuhan SOP," katanya.
Noor Hisham mengatakan bahawa R-naught negara kini berada di 1.39, sementara untuk Sabah, 1.42.
Angka R-naught ini digunakan oleh ahli epidemiologi untuk menerangkan bagaimana penyakit berjangkit.
Kadar di atas menunjukkan bahawa tahap kebolehjangkitan semakin meningkat.
Berdasarkan penilaian KKM, jika angka R-naught mencapai 1.6, dijangkakan peningkatan eksponensial akan berlaku dalam jangka waktu yang singkat.
"Kita masih dapat membendung jangkitan, dengan syarat kami perlu terus melakukan yang terbaik.
"Kita telah melakukannya sebelumnya melalui kawalan sempadan, sekatan jalan raya dan langkah-langkah kesihatan awam," katanya.
Noor Hisham menambah bahawa pegawai kesihatan dari negeri lain juga telah dikerahkan untuk membantu Jabatan Kesihatan Sabah dalam melakukan ujian sasaran dan langkah-langkah intervensi kesihatan awam.
Ini termasuk pegawai dari Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang dan Kuala Lumpur.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai