Skip to main
Logo Malaysiakini

Kawasan dikategorikan hotspot dalam MySejahtera 'hanya jika ada risiko penularan'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Aplikasi MySejahtera hanya memaparkan lokasi tertentu sebagai berisiko tinggi (hotspot) jika ia boleh menjadi punca penularan Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Penjelasan itu selepas warganet mempersoalkan mengapa beberapa lokasi yang dilaporkan pernah dikunjungi pesakit Covid-19 tidak dimasukkan dalam senarai hostpot dalam MySejahtera.

"Penentuan hotspot berdasarkan lokasi kes positif dan lokasi yang berpontensi menjadi punca penularan Covid-19.

"Kementerian Kesihatan (KKM) perlu melakukan penilaian risiko dan kadar kebolehjangkitan sebelum menyatakan sesuatu tempat sebagai berpotensi menjadi punca penyebaran virus Covid-19," katanya dalam kenyataan hari ini.

Untuk rekod, dasar KKM adalah tidak mendedahkan maklumat pesakit - berdasarkan prinsip kerahsiaan pesakit - termasuk mereka yang dijangkiti Covid-19.

Aplikasi MySejahtera sebaliknya memaklumkan pengguna sama ada terdapat kes Covid-19 dalam tempoh 28 hari di mana-mana kawasan dan satu kilometer sekitarnya, tanpa menyatakan tarikh dan kedudukan tepat di mana kes itu dikesan.

Bagaimanapun lebih maklumat muncul dengan perniagaan, pengurusan bangunan dan pihak lain secara sukarela melaporkan kes di premis mereka dan menjelaskan langkah yang diambil untuk mencegah penularan wabak.

Misalnya beberapa pusat membeli belah ada mengumumkan pelanggan atau pekerja di situ yang disahkan positif Covid-19 dan bahawa kerja pembersihan di kawasan terlibat telah dibuat.

Hari ini KKM turut menafikan satu senarai yang tersebar, didakwa sebagai kawasan-kawasan yang dikunjungi pesakit Covid-19.

Dalam satu hantaran Facebook, KKM berkata kawasan yang dikunjungi pesakit Covid-19 adalah selamat selepas kerja nyahkuman dilakukan dan selagi prosedur operasi standard (SOP) untuk mengekang penularan wabak diamalkan.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.