Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Pengalaman menunggu ujian saringan di KLIA2

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

ULASAN | Saya di Kota Kinabalu beberapa hari atas tugasan dan pulang pada Ahad lalu. Ketika tiba di Lapangan Terbang Kota Kinabalu, barulah saya dimaklumkan penumpang dari Sabah perlu menjalani ujian saringan Covid-19 apabila tiba di Kuala Lumpur.

Saya mula membayangkan beberapa tugasan penting menanti saya terpaksa ditangguhkan. Rungutan sama dinyatakan kebanyakan penumpang yang kebanyakannya pulang ke Sabah untuk mengundi dalam PRN.

Pastinya ini adalah keputusan terbaik kerajaan untuk mengekang penularan Covid-19 terutama di zon-zon merah di pantai timur Sabah. Kami yang bukannya dari zon tersebut turut melalui proses sama demi mengelak berlakunya penularan.

Kakitangan AirAsia di kaunter memaklumkan bahawa penumpang akan ditanda dengan gelang ‘pink’ sebaik ujian swab dilakukan. Kami semua kemudian akan menjalani kuarantin di rumah selama dua minggu atau lebih awal jika keputusan ujian negatif.

Di sini saya ingin berkongsi beberapa kerisauan yang saya lalui sepanjang proses tersebut.

Taklimat prosedur

Sepanjang penerbangan sehinggalah kami dipanggil untuk beratur pada jam tiga pagi hari berikutnya, tiada satu pun taklimat atau penerangan prosedur baru ini diberikan oleh mana-mana pihak.

Kami hanya disambut oleh seorang kakitangan keselamatan KLIA2 sebaik memasuki dewan menunggu setelah menyerahkan borang setebal 10 muka surat untuk diisi. Apabila ditanya dengan pelbagai soalan berkaitan borang dan prosedur tersebut, dia mengakui tidak dapat memberi sebarang jawapan kerana taklimat sepatutnya dibuat KKM, bukan kakitangan keselamatan KLIA2.

Hanya selepas itu baru kami faham MKN atau KKM tidak mempunyai kakitangan yang mencukupi untuk pelaksanaan proses ini. Menurut pekerja itu, hasil dari pemerhatian pihak KLIA2, isu paling utama adalah pihak berwajib tidak sempat bersedia sepenuhnya sebelum proses itu dikuatkuasakan.

Tempoh menunggu

Apabila ditanya berkaitan tempoh menunggu, kakitangan keselamatan terbabit mengesahkan bahawa pada masa tersebut (jam sembilan malam) ujian swab yang sedang dibuat di zon saringan masih lagi kepada penumpang yang tiba di sebelah pagi.

Ini sungguh luar jangka dan tidak munasabah. KKM seperti berdepan masalah tidak cukup kakitangan yang sungguh kritikal sehingga penumpang dipaksa menunggu hampir saparuh hari hanya untuk disaring. Ramai penumpang mula mempersoalkan kegagalan itu yang mengakibatkan mereka terpaksa membatalkan penerbangan transit dan jmerancang semula perjalanan dan urusan yang terjejas.

Kami hanya dipanggil untuk mula beratur untuk menyerahkan borang saringan pada jam tiga pagi dan seluruh proses selesai sekitar jam enam pagi - tempoh menunggu kira-kira separuh hari.

Keperluan asas

Sebaik sahaja ditempatkan di tempat menunggu tanpa sebarang makluman untuk beberapa jam, perasaan resah jelas tergambar di wajah lebih 100 penumpang yang ada. Antarnaya adalah keperluan untuk air minuman, khususnya buat mereka yang perlu makan ubat tertentu mengikut masa ditetapkan.

Sedih apabila diberitahu ada penumpang yang terpaksa ke bilik air untuk mengambil air paip untuk diberikan kepada ahli keluarga yang perlu memakan ubat.

Namun pada masa sama beberapa penumpang menunjukkan semangat persaudaraan yang tinggi dengan berkongsi makanan dan minuman yang ada.

Hanya sekitar jam 12 tengah malam penumpang diberi sebotol air mineral. Makanan pula diagihkan sejam kemudian.

Foto yang tular di media sosial menunjukkan suasana dewan kecil dengan puluhan penumpang bergelimpangan tidur di lantai adalah gambaran sebenar yang amat menyedihkan, terutama buat warga emas, ibu dengan bayi kecil, dan mereka yang sakit yang terpaksa menempuhi pengalaman lebih 11 jam ini.

Permohonan beberapa warga emas dan keluarga yang mempunyai anak kecil untuk membuat ujian saringan lebih awal turut juga ditolak. Petugas berkata mereka perlu membuat ujian berdasarkan turutan penerbangan.

Prosedur kesihatan

Pada jam tiga pagi, sebaik dipanggil untuk beratur - dengan panjang barisan kira-kira 300 meter - untuk menjalani ujian, sebahagian penumpang yang resah mula bertindak berebut dan berhimpit ke hadapan bagi membolehkan ujian segera dibuat terhadap mereka.

Ia seolah-olah ketika penonton berebut masuk ke stadium bola sepak sebaik pintu dibuka - sanggup melakukan apa saja untuk duduk paling depan.

Rata-rata penumpang pada hari itu terpaksa beratur selama hampir dua jam, sebelum memasuki zon saringan.

Ada kakitangan keselamatan KLIA2 yang menyatakan mereka sudah tidak mampu lagi mengawal kebanjiran ramai penumpang yang tidak mengikut arahan pada masa tersebut.

Apa yang jelas menurut mereka risiko pernularan pasti meningkat apabila berlaku percampuran penumpang penerbangan Kota Kinabalu dengan barisan penumpang dari zon merah.

Dalam kesibukan itulah saya melihat Menteri Kesihatan Dr Adham Baba sendiri cuba mengelakkan percampuran penumpang dari zon merah dengan mereka yang lain.

Nampaknya masalah ini begitu serius sehingga menteri sendiri terpaksa ke KLIA2 pada pukul tiga pagi bagi menjalankan tugas.

Ketika itu, dia berkata kepada penumpang bahawa KKM bernasib baik kerana dibantu sekumpulan penumpang yang merupakan sukarelawan parti politik yang baru pulang dari Sabah.

Saya melihat dia memberikan arahan kepada sukarelawan untuk memastikan pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal diamalkan oleh penumpang, selain memberikan air dan makanan.

SOP petugas kesihatan

Tatkala saya kian menghampiri kawasan ujian, saya mula memikirkan hal yang lebih merisaukan. Saya melihat sendiri sukarelawan tadi bersama menteri turut menghampiri kawasan tersebut tanpa memakai sut peralatan perlindungan diri (PPE), walau kakitangan KKM di situ memakainya.

Dan seperti pengalaman di pusat kesihatan lain, pasti ada penumpang yang bersin atau batuk ketika ujian dilakukan. Ini menjadikan kawasan tertutup itu cukup berisiko untuk berlaku penyebaran virus. Dapat dilihat semua yang beradai di sekitar kawasan itu menjadi bimbang.

Bagi saya tak munasabah untuk kumpulan sukarelawan yang penumpang kapal terbang dilibatkan bersama-sama petugas di kawasan ujian dilakukan tanpa pematuhan ketat terhadap SOP yang ditetapkan.

Saya ada mengajukan kebimbangan kepada doktor yang bertugas dan dia berkata akan membawa perkara itu kepada pihak atasan.

Inilah secebis pengalaman peribadi saya dan ramai lagi penumpang dari Sabah sepanjang hari itu.

Sebelum pulang saya dan beberapa orang lagi sempat bersemuka terus dan menyampaikan kerisauan kepada Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham sendiri yang turut memantau.

Dia berkata KKM sebenarnya belum sempat membuat persediaan penuh dalam perkara itu namun memberi jaminan segala perhatian yang diutarakan akan ditangani serta-merta.

Saya meninggalkan KLIA2 sekitar jam 5:30 pagi setelah dibekalkan sebungkus makanan dan air oleh petugas KLIA2.

Saya berfikir, apakah kecemerlangan KKM yang diiktiraf dunia dalam menangani COVID-19 akan musnah sekelip mata hanya kerana sejumlah pihak tidak bersedia untuk melaksanakan langkah-langkah secara mengejut ini.

Pertentangan arahan

Saya juga ingin membangkitkan pengertian sebenar langkah terbaru KKM ini.

Berdasarkan Perkara 3 (iii) Surat Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia bertarikh 25 September 2020 dan kenyataan media Menteri Pertahanan pada 27 September 2020, jelas pelepasan pada perintah kuarantin di rumah terhadap individu adalah selepas keputusan ujian menunjukkan negatif.

Namun, kakitangan perubatan yang memberi taklimat kepada penumpang selepas ujian saringan dibuat pada hari itu mengatakan prosedur HSO penuh selama 14 hari masih dikekalkan kerana tiada arahan baru diterima oleh mereka setakat itu.

Perkara ini perlu dimuktamadkan oleh MKN, KKM dan pihak berkaitan demi memastikan bahawa kepatuhan pada SOP terbaru itu dilaksanakan sepenuhnya tanpa kegagalan.

Saya berdoa agar Malaysia dijauhkan daripada apa jua kebarangkalian timbulnya kluster baru Covid-19 termasuklah kemungkinan kluster KLIA2 bertarikh 27 dan 28 September 2020.


AHMAD SAYUTI BASHIRON adalah pembaca Malaysiakini.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.