Skip to main
Logo Malaysiakini

Covid-19 beri kesan pada kesihatan mental penduduk Korea Selatan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Empat daripada 10 penduduk Seoul percaya kesihatan mental mereka merosot disebabkan wabak COVID-19, lapor Agensi Berita Yonhap.

Dalam tinjauan membabitkan 3,983 peserta dalam kalangan remaja sehingga mereka yang berusia 80 tahun, seramai 1,489 atau 40 peratus mengatakan kesihatan mental mereka semakin merosot sejak wabak COVID-19 melanda awal tahun ini.

Selebihnya 60 peratus mengatakan terdapat sedikit perubahan dalam kesihatan mental mereka.

Tinjauan secara dalam talian oleh kerajaan bandar raya Seoul itu dijalankan dari Julai hingga Ogos.

Menurut peserta tinjauan antara sebab kemerosotan kesihatan mental kerana masalah ekonomi, kekurangan masa lapang berikutan penjarakan sosial, tidak selesa memakai pelitup muka dan kekangan untuk berhubung dengan anggota keluarga.

Seramai 892 peserta atau 25 peratus menyatakan COVID-19 mungkin memberi kesan terhadap kesihatan fizikal mereka.

Antara perkara paling sukar disebabkan COVID-19, 1,128 atau 32 peratus mengatakan pengurangan aktiviti riadah dan berjalan-jalan, pengangguran atau hilang punca pendapatan (24 peratus), penggunaan pengangkutan awam (12 peratus) dan membeli-belah atau makan di luar (enam peratus).

Lebih separuh peserta (51 peratus) mendapati garis panduan penjarakan sosial menyebabkan sedikit ketidakselesaan manakala 41 peratus lagi mengatakan ia perlu tetapi agak menyulitkan.

Sebaliknya, 30 peratus lagi merasa terasing kerana penjarakan sosial.

-Bernama