Skip to main
Logo Malaysiakini

K'jaan cadang wujud Tabika 'elit' untuk keluarga 'berkemampuan'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kerajaan berhasrat mewujudkan taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) 'elit' buat kanak- kanak berusia empat hinga enam tahun, dengan kurikulum yang lebih baik.

Bagaimanapun ia menyasarkan kanak-kanak dengan ibu bapa yang memiliki "keupayaan kewangan yang tinggi".

Sejumlah pihak mengkritik cadangan itu dengan berkata ia akan melebarkan lagi jurang pendidikan antara golongan kaya dan miskin.

Menurut Berita Harian, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Abdul Rahman Mohamad berkata, kertas cadangan buat “Tabika elit’ sedang diperincikan dan akan dibentang dalam mesyuarat Kabinet.

Jika diluluskan, dia berkata projek perintis akan diwujudkan di kawasan tertentu khusus untuk ibu bapa daripada golongan M40 (berpendapatan pertengahan).

"Tabika elit ini dicadangkan hanya untuk murid yang ibu bapa mereka mempunyai kemampuan kewangan yang tinggi kerana yurannya lebih tinggi berbanding Tabika Kemas sedia ada iaitu antara RM5 hingga RM25 sebulan.

"Kita tidak paksa ibu bapa menghantar anak mereka ke Tabika elit ini kerana 10,900 Tabika biasa masih beroperasi tetapi Tabika elit menyediakan kurikulum yang lebih baik berbanding yang biasa," katanya seperti dipetik.

Jika diluluskan Kabinet, katanya lagi, rang undang-undang (RUU) Tabika akan dibentangkan di Dewan Rakyat.

Mengulas perkara itu, Anggota Parlimen Segambut Hannah Yeoh berkata ia bukan satu langkah yang betul bagi meningkatkan tahap pendidikan awal kanak-kanak.

Hannah Yeoh

“Kerajaan persekutuan harus melihat ke arah memperbaiki mutu pendidikan dan penjagaan kanak-kanak, bukannya mewujudkan jurang di kalangan mereka,” katanya sambil menyifatkan Tabika elit itu sebagai satu diskriminasi.

'Sepatutnya satukan institusi prasekolah'

Bekas timbalan menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu turut berkata cadangan mewujudkan Tabika elit bersifat ad hoc, rawak dan bukan penyelesaian menyuruh bagi pendidikan dan penjagaan kanak-kanak.

“Jika kepimpinan baru Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tidak menunjukkan kepimpinan dalam perbincangan sepenting ini, ia hanya akan menjadi langkah yang membazirkan wang dan turut melebarkan lagi jurang di kalangan kanak-kanak luar bandar," katanya ketika dihubungi.

Menurut Yeoh, pentadbiran PH terdahulu berhasrat menubuhkan agensi khas bagi mengatur semua institusi pendidikan awal kanak-kanak.

Ini kerana pada masa ini institusi berbeza terletak di bawah kementerian berlainan, katanya.

Taman asuhan kanak-kanak (Taska) dikendalikan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Kementerian Pembangunan wanita, Keluarga dan Masyarakat, manakala taman didikan kanak-kanak (Tadika) di bawah Kementerian Pendidikan.

Tabika pula di bawah Kementerian Luar Bandar dan taska perpaduan dikendalikan Kementerian Perpaduan.

Kata Yeoh lagi, beberapa kerajaan negeri juga mempunyai institusi prasekolah sendiri.

“Jadi ketika pentadbiran PH, kami mula mengumpulkan kesemua empat kementerian untuk membincangkan cadangan agar menyerahkan (institusi tersebut) kepada Kementerian Pendidikan….untuk transisi lancar apabila kanak-kanak berusia tujuh tahun (masuk darjah satu).

“Jika tidak, apabila mereka masuk darjah satu, Kementerian Pendidikan akan mengendalikan kanak-kanak dengan pelbagai asas permulaan," katanya lagi.

Cadangan itu sejajar dengan cadangan penubuhan Agensi Kanak-kanak selaku penyelaras dan pengawal selia tunggal hal ehwal kanak-kanak.

Fahmi Fadzil

Kenyataan Hannah turut disokong oleh Anggota Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil.

Fahmi berkata kerajaan sepatutnya mencari jalan untuk menyatukan kanak-kanak daripada latar belakang ekonomi berbeza di institusi sama, bukan memisahkan mereka.

Kerajaan juga sewajarnya memperbaiki Tabika sedia ada, katanya lagi.

Ditanya berkenaan aspek kos, Fahmi berkata Kementerian Pendidikan perlu mendapatkan dana tambahan untuk menambah baik pendidikan prasekolah, termasuk menyusun semula kurikulum dan menaikkan gaji pendidik.

“Saya lihat salah satu cara (kerajaan) meraih dana ialah dengan mewujudkan tabung pendidikan prasekolah yang memberi pelepasan cukai kepada penyumbang, sama ada individu mahupun badan korporat.

“Satu lagi cara ialah dengan mengadakan kolaborasi dengan institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) yang mempunyai kepakaran dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak untuk merangka kurikulum yang lebih baik," katanya lagi.