4 syarikat telekomunikasi atasi isu liputan internet estet di Bukit Selambau
Empat penyedia perkhidmatan telekomunikasi utama - Celcom, DiGi, Maxis dan U Mobile - akan mendirikan menara pemancar sementara setinggi 30 meter bagi menyelesaikan isu liputan internet di Kampung Kongsi 14, Bukit Selambau, Kedah.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan hari ini berkata, keempat-empat rangkaian telekomunikasi berkenaan akan dapat diakses oleh penduduk melalui teknologi perkongsian pemancar yang dikenali sebagai Rangkaian Teras Pelbagai Operator (MOCN).
“Ini merupakan kali pertama penggunaan teknologi MOCN di Semenanjung Malaysia yang menggabungkan keempat-empat syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi,” katanya.
MCMC menambah kerja penyediaan tapak, pemasangan dan pengaktifan menara sementara itu dapat diselesaikan dalam tempoh enam minggu selepas memperolehi kebenaran daripada Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP).
“Penyedia perkhidmatan kini dalam proses menghantar permohonan kelulusan kepada MPSP,” katanya.
Menurut MCMC, penyelesaian itu dicapai hasil beberapa lawatan dan perbincangan di antara MCMC, penyedia perkhidmatan dan penduduk, selain dibantu oleh Exco Penerangan, Komunikasi dan Multimedia Kedah Wan Romani Wan Salim.
Sebelum ini, media melaporkan ratusan penduduk di Kampung Kongsi 14 terpaksa mengambil inisiatif membina ‘menara telekomunikasi’ mereka sendiri menggunakan tiang, baldi dan tali, untuk menikmati kemudahan internet.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai