Tuan Ibrahim: Cadangan bawa PAS masuk DUN Sabah dipersetujui sejak awal
Nampaknya langkah membawa wakil PAS menduduki salah satu kerusi DUN Sabah hampir menjadi kenyataan tidak lama lagi.
Hari ini salah seorang pemimpin kanan parti itu memberitahu Malaysiakini, cadangan berkenaan sebenarnya sudah dipersetujui parti-parti yang ada dalam Gabungan Rakyat Sarawak sebelum ini.
Mendedahkan hal itu Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata ia disepakati oleh Perikatan Nasional (PN) dan BN.
PN merupakan gabungan Bersatu bersama beberapa parti lain manakala BN adalah entiti lain namun mereka bersama dalam GRS untuk menghadapi Warisan dalam pilihan raya (PRN) Sabah pada 26 Sept lalu.
PAS menjadi anggota PN tetapi bukan komponen BN namun menjalin kerjasama rasmi dengan Umno yang mendominasi BN. PAS pula tidak mendapat laluan untuk PRN Sabah sama ada daripada BN atau PN di sebalik rancangan awam mereka untuk meletakkan sehingga 10 calon.
Setiausaha Agung BN, Annuar Musa, pagi tadi mencadangkan Sabah melantik sekurang-kurangnya seorang wakil PAS dalam DUN untuk mengisi enam kuota Adun lantikan negeri itu.
"Saya percaya seorang wakil PAS akan mengisi satu dari enam Adun dilantik.
"Mungkin dua lagi dari Umno, tiga lagi dari PBS, Star dan Bersatu," katanya.
Di sebalik kenyataan Annuar itu yang dilihat baru bersifat cadangan, Tuan Ibrahim menegaskan, ia adalah keputusan yang sudah dipersetujui secara bersama lebih awal.
Baca 'Lantik wakil PAS sertai DUN Sabah mudaratkan keharmonian'
"Sebenarnya perkara ini telah pun dipersetujui oleh semua parti dalam gabungan GRS yang terdiri daripada PN dan BN," kata Tuan Ibrahim ketika dihubungi petang ini.
Menurut Tuan Ibrahim, PAS menyambut baik cadangan Annuar kerana ia akan memperkukuhkan muafakat politik disertai mereka selepas mereka bekerja gigih memenangkan GRS.
Menurut Tuan Ibrahim, dia sendiri menggerakkan lebih 500 petugas PAS bagi membantu kemenangan gabungan tersebut.
Justeru katanya memang wajarlah PAS diberikan tempat dalam DUN Sabah.
"PAS akan menanti pengumuman rasmi dibuat," katanya.
Untuk rekod, Sabah berbeza daripada negeri-negeri lain apabila kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk melantik individu tertentu menjadi Adun tanpa perlu menyertai pilihan raya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai