Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Majoriti sokong dasar kesaksamaan gender di tempat kerja

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kajian terkini menunjukkan majoriti rakyat Malaysia lebih memilih polisi yang menyokong kesaksamaan gender di tempat kerja.

Kajian Vase.ai dengan kerjasama Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Undi18, dan Architects of Diversity, menunjukkan peningkatan sokongan yang ketara untuk meningkatkan bilangan cuti bersalin berbayar dan cuti paterniti, polisi mewujudkan persekitaran kerja saksama untuk wanita, dan polisi menggalakkan ibu bapa berkongsi tanggungjawab penjagaan anak dan kerja-kerja rumah.

Parlimen perlu mengambil tindakan pantas dalam sesi persidangan seterusnya untuk membentangkan dan meluluskan cadangan pindaan ke atas akta kerja, yang akan menguatkuasakan polisi yang mendapat sokongan majoriti masyarakat.

  1. Cuti paterniti berbayar untuk para bapa

Seramai 70 peratus rakyat Malaysia percaya bahawa cuti paterniti berbayar untuk para bapa harus ditingkatkan.

Cadangan pindaan ke atas Akta Kerja akan memperkenalkan tiga hari cuti paterniti bagi sektor swasta, yang mana ketika ini masih tidak diperuntukkan cuti paterniti.

WAO ingin terus menggesa untuk minimum cuti paterniti selama tujuh hari diperuntukkan.

  1. Meningkatkan bilangan cuti bersalain untuk para ibu

Seramai 75 peratus rakyat Malaysia bersetuju bahawa bilangan cuti bersalin bagi para ibu harus ditingkatkan.

Pada ketika ini, akta kerja memperuntukkan 60 hari cuti bersalin berbayar bagi sektor swasta.

Cadangan pindaan akan meningkatkan cuti bersalin kepada 90 hari, selaras dengan saranan piawaian minimum Pertubuhan Buruh Antarabangsa.

  1. Perlindungan daripada diskriminasi gender dan kehamilan

Hasil tinjauan yang baru dijalankan mendapati majoriti rakyat Malaysia lebih memilih untuk menyokong polisi menghapuskan diskriminasi gender dan mewujudkan kesaksamaan gender di tempat kerja.

Seramai 91 peratus rakyat Malaysia bersetuju bahawa lebih banyak polisi perlu digubal bagi mewujudkan persekitaran saksama untuk wanita, seperti bilik menyusukan bayi.

Tambahan lagi, 84 peratus rakyat Malaysia bersetuju bahawa lebih banyak polisi perlu digubal supaya wanita diberikan peluang pekerjaan yang sama seperti lelaki.

Sementara 83 peratus rakyat Malaysia bersetuju bahawa lebih banyak polisi diperlukan bagi memastikan wanita dibayar dengan bayaran yang sama seperti lelaki dalam pekerjaan yang sama.

Cadangan pindaan ke atas akta kerja turut merangkumi larangan diskriminasi gender ke atas pekerja, yang bermakna majikan tidak lagi boleh mendiskriminasi wanita di tempat kerja.

Diskriminasi itu termasuk menyekat peluang kerjaya, atau menghalang wanita daripada pernyertaan sama rata di tempat kerja akibat daripada kegagalan menyediakan kemudahan.

Peruntukan-peruntukan ini turut merangkumi perlindungan daripada pemberhentian kerja ke atas wanita yang hamil.

Oleh kerana ini adalah langkah-langkah yang kritikal, perlindungan-perlindungan ini perlu dipanjangkan kepada pencari kerja kerana kebanyakan wanita kerap kali mengalami diskriminasi pada fasa temu duga atas dasar gender atau status kehamilan.

  1. Waktu bekerja yang fleksibel

Seramai 86 peratus rakyat Malaysia bersetuju bahawa lebih banyak polisi perlu digubal bagi menggalakkan para ibu dan bapa berkongsi tanggungjawab penjagaan dan kerja rumah yang sama.

Perkongsian tanggungjawab yang saksama boleh diwujudkan dengan adanya waktu bekerja yang fleksibel bagi kedua-dua ibu bapa yang boleh dipohon, yang telah dinyatakan dalam cadangan pindaan.

  1. Perlindungan ke atas gangguan seksual

Seramai 89 peratus rakyat Malaysia bersetuju bahawa lebih banyak polisi diperlukan bagi memastikan wanita tidak dijadikan sasaran gangguan seksual dalam apa jua konteks, termasuklah di tempat kerja.

Sementara pindaan ke atas akta kerja yang dijadualkan akan merangkumi pelindungan ke atas gangguan seksual di tempat kerja, Rang Undang-Undang Gangguan Seksual yang juga dijadualkan untuk dibentangkan di Parlimen turut bertujuan menangani gangguan seksual dalam semua konteks, daripada universiti hinggalah di tempat awam.

Dengan membentangkan dan meluluskan cadangan pindaan ke atas akta kerja pada bulan November, parlimen akan berpeluang melaksanakan polisi yang disokong oleh kebanyakan rakyat Malaysia dalam merapatkan jurang gender dalam pekerjaan.

Sampel akhir adalah seramai 1,027 responden.

Responden berumur 18 tahun dan ke atas diambil sebagai sampel kuota mengikut statistik banci mengikut kaum, jantina, umur dan wilayah tempat tinggal.

Keputusan penuh tinjauan boleh dirujuk di: https://vase.ai/resources/malaysia-temperature-check


PERTUBUHAN PERTOLONGAN WANITA (WAO) menyediakan tempat perlindungan, kaunseling, dan bantuan krisis percuma kepada wanita dan kanak-kanak yang mengalami penderaan sejak tahun 1982.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.