Inkues Nora Anne: Dua anjing bomba tak temui petunjuk positif
Mahkamah Koroner di Seremban hari ini dimaklumkan bahawa dua ekor anjing milik Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), tidak memperoleh petunjuk positif sepanjang tiga hari pencarian remaja perempuan warga Ireland-Perancis Nora Anne Quoirin, bermula 5 Ogos 2019.
Saksi ke-18 prosiding inkues bagi menentukan punca kematian gadis itu, pengendali anjing dari Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur Pegawai Bomba Jackson Ringkai Anak Gawan, 28, berkata, anjing jenis Labrador yang dinamakan 'Buddy' tidak memberi sebarang reaksi positif, sepanjang pencarian di kawasan berhampiran The Dusun Resort.
“Saya mulakan pencarian pertama pada pukul 10.30 pagi 5 Ogos dan tidak menemui petunjuk positif,” katanya ketika memberi keterangan di hadapan Koroner Maimoonah Aid di Seremban.
Ditanya Timbalan Pendakwa Raya Norhafiza Haron yang bertindak sebagai Pengawai Pengendali Inkues mengenai bagaimana anjing kendaliannya memberikan reaksi sekiranya dapat mengesan sesuatu, Jackson berkata, “...sekiranya mengesan sesuatu yang positif dia akan berhenti, memandang dan menyalak.”
Sementara itu, ditanya peguam kepada keluarga Nora Anne, S.Sakthyvell sama ada sepanjang pencarian itu, adakah beliau yang memandu arah anjing berkenaan atau sebalik, Jackson berkata, beliau hanya mengikut anjing berkenaan.
Sementara itu, saksi ke-19, Pegawai Bomba Ajat Anak Menang, 30, dari unit yang sama, berkata anjing jenis Border Collie yang dinamakan 'Murphy’, juga gagal mengesan keberadaan Nora Anne sepanjang carian selama tiga hari bermula 5 Ogos.
Ajat berkata, ketika operasi pencarian dilakukan, beliau dan anjingnya bertindak sebagai pengesah kepada jejak yang dilakukan Jackson, dalam mengesan Nora Anne.
Ditanya Norhafiza, adakah boleh menjejaskan pencarian sekiranya berlaku pertukaran anjing, Ajat berkata, “Ia tidak menjejaskan sekiranya ada bau.”
Sementara itu, prosiding inkues akan bersambung pada 19 hingga 23 Okt dengan saksi daripada polis, bomba dan orang awam akan dipanggil memberi keterangan.
“November kita fokus kepada keluarga Nora Anne,” kata Koroner Maimoonah.
Nora Anne, 15, hilang pada 4 Ogos tahun lepas, sehari selepas dia dan keluarga tiba di Malaysia untuk bercuti selama dua minggu di sebuah pusat peranginan Pantai di sini, kira-kira 60 kilometer di selatan ibu negara.
Pada 13 Ogos, mayat Nora Anne ditemukan berhampiran anak sungai di kawasan berlurah, kira-kira 2.5 kilometer dari resort penginapannya ,susulan pencarian besar-besaran yang dilakukan pihak berwajib.
Laporan awal bedah siasat menyatakan kematian remaja berkenaan yang juga golongan istimewa tidak mempunyai unsur jenayah dan remaja itu disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca daripada tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan berpanjangan.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai