Skip to main
Logo Malaysiakini

Bicara kes Amla RM9.5 juta Shafee: 10 saksi dijangka beri keterangan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Sepuluh saksi pendakwaan dijangka dipanggil pada perbicaraan peguam kanan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang menghadapi dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan dua pertuduhan membuat penyata yang tidak betul kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin semasa pengurusan kes itu hari ini.

Peguam Sarah Abishegam, yang mewakili Muhammad Shafee memberitahu mahkamah tarikh perbicaraan kes itu boleh ditetapkan setelah selesai pendengaran dua permohonan anak guamnya untuk mencabar pelantikan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai ketua pasukan pendakwaan dalam kes berkenaan.

Permohonan itu kini di peringkat rayuan di Mahkamah Rayuan, Putrajaya.

“Kami mohon agar rayuannya diselesaikan dahulu sementara menunggu perbicaraan kes ini kerana ia berkaitan dengan kebebasan pendakwa.

“Tan Sri juga sedang mengendalikan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) buat masa ini dan ia sudah pasti membebankan jika beliau terpaksa mengendalikan kesnya dan kes Datuk Seri Najib pada masa yang sama,” kata peguam itu.

Dalam responsnya, Hakim Muhammad Jamil berkata tarikh bicara kes itu boleh ditetapkan dahulu memandangkan kes itu telah mengambil masa yang agak lama sejak ia mula didaftarkan pada 2018.

Afzainizam kemudian memaklumkan bahawa Sri Ram, yang juga pendakwa dalam kes Muhammad Shafee hanya bersedia bermula Mac 2021.

Mahkamah menetapkan 10 hari untuk perbicaraan kes itu mulai 7, 21 dan 28 Mei; 4 dan 11 Jun; pada Julai iaitu 1, 2, 22 dan 23 serta 6 Ogos.

Pada 13 Sept 2018, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta melalui cek dikeluarkan oleh bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Peguam itu didakwa menerima cek sebanyak RM4.3 juta pada 13 Sept 2013 dan RM5.2 juta lagi pada 17 Feb 2014.

Muhammad Shafee dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di CIMB Bank Bhd, J2 & K1, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Muhammad Shafee juga didakwa atas dua pertuduhan terlibat dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Dis 2013 dan 31 Dis 2014.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di LHDN cawangan Jalan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di Kuala Lumpur pada 3 Mac 2015 dan 29 Jun 2015, jika sabit kesalahan akan berdepan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali ganda daripada jumlah hasil aktiviti haram.

- Bernama