Skip to main
Logo Malaysiakini

Peneroka Felda nafi guna buruh paksa, kanak-kanak seperti didakwa AS

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kalangan peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di Felda Air Tawar 2 di Kota Tinggi menyifatkan tindakan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) menyekat import minyak sawit dan produk keluaran FGV Holdings Bhd (FGV) atas alasan membabitkan tenaga paksa, sebagai satu dakwaan tidak berasas.

Sambil menganggap tuduhan itu berniat jahat untuk memburukkan imej sawit Malaysia, rata-rata mereka yang ditemui Bernama bukan setakat kecewa, malah menafikan sekeras-kerasnya wujudnya amalan kerahan tenaga buruh paksa warga asing serta kanak-kanak.

Ini berikutan ketetapan atau amalan perladangan masa kini seperti penetapan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang jelas menggariskan kepentingan aspek termasuk kebajikan pekerja.

Md Zahir Salikin, 71, yang mengusahakan tanaman kelapa sawit sejak 2004 berkata beliau dan rakan peneroka lain mengusahakan tanaman itu secara persendirian.

Beliau yang juga peneroka generasi pertama berkata kebajikan pekerja asing terbabit turut dijaga dan tiada sebarang penindasan berlaku.

"Semua dakwaan itu tidak betul...ini kemungkinan hasutan pihak-pihak yang mahu memburukkan minyak sawit Malaysia. Memang tiada buruh paksa dan tiada kerahan tenaga kanak-kanak.

"Saya sendiri, secara peribadi memang menafikan sepenuhnya dakwaan tesebut. Saya tanam sendiri benih (kelapa sawit) yang diluluskan Felda dan MPOB (Lembaga Minyak Sawit Malaysia). Semua saya buat sendiri dan pembantu saya pun dalam kalangan peneroka tetapi bukan buruh paksa atau kanak-kanak," katanya.

Beliau mengulas tindakan pihak CBP pada Rabu lepas yang telah mengarahkan Perintah Sekatan Pelepasan (WRO) berkuat kuasa 30 Sept, 2020 terhadap produk-produk keluaran FGV Holdings Bhd (FGV) atas alasan berdasarkan maklumat siasatan selama setahun mengenai berlakunya kerahan tenaga paksa serta kebimbangan membabitkan khidmat kanak-kanak.

FGV menerusi kenyataan semalam pula sebaliknya menegaskan bahawa ia telah mengambil langkah-langkah konkrit sejak beberapa tahun lepas yang memaparkan komitmen menghormati hak asasi manusia serta mendukung standard-standard tenaga kerja yang diamalkan.

Sementara itu, Mohd Arfanny Arin, 30, dan Nur Hisyam A.Halim, 29, yang merupakan generasi kedua Felda mempertikaikan laporan CBP AS yang disifatkan sebagai satu pembohongan.

Menurut mereka, ini berikutan hampir kesemua pengusaha tanaman kelapa sawit di Felda Air 2 itu itu telah mendapat pensijilan MSPO.

Mohd Arfanny menegaskan, mereka tidak akan mendapat pensijilan berkenaan jika benar berlaku penindasan tenaga buruh paksa, keganasan fizikal dan seksual serta penggunaan buruh paksa kanak-kanak dalam proses pengeluaran minyak sawit berkenaan.

"Meskipun ada buruh asing dari Indonesia, India dan Bangladesh yang bekerja di sektor berkenaan tapi kebajikan mereka tetap dijaga. Mereka ada penempatan, gaji minimum yang ditetapkan kerajaan pula sebanyak RM1,200 selain pemeriksaan kesihatan, cuti dan lain-lain," katanya.

Mohd Arfanny berkata, pensijilan MSPO itu pula dilaksanakan dan diaudit oleh kontraktor luar yang bertindak menilai dan mengaudit dari pelbagai aspek.

"Oleh itu, kita memang mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan untuk mendapatkan pensijilan berkenaan.

"Untuk makluman, seluruh Felda Air Tawar 2 telah mendapat MSPO dan setiap tahun kita akan diaudit. MSPO ini adalah lesen untuk membolehkan minyak sawit kita dijual ke negara luar...ini mengikut SOP yang ditetapkan bukan kita suka-suka buat sendiri.

"Dalam SOP itu juga jelas menggariskan kebajikan para pekerja yang perlu dijaga. Bagi kelapa sawit, kita boleh jaga pokok berusia setahun sehingga 30 tahun, maknanya kehidupan semula jadi (dijaga), binatang juga dapat hidup dengan baik dan terjaga. Bukan setakat manusia, tapi alam sekitar juga dijaga," katanya.

- Bernama