Mufti Perlis: Demi pengaruh, nyawa rakyat pun mereka sanggup bertaruh
Ketika negara dilanda lonjakan mendadak kes Covid-19, Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin menyindir tindakan ahli politik yang disifatkannya sebagao mementingkan diri sendiri demi kepentingan politik sehingga sanggup mempertaruhkan nyawa rakyat.
Dalam hantaran Facebook, dia berkata ketika ini ahli-ahli politik sanggup melakukan apa sahaja demi kepentingan politik.
“Bagi membuktikan ketulusan mereka dalam berpolitik merebut pengaruh, nyawa rakyat pun mereka sanggup bertaruh.
“Bagi membuktikan keikhlasan mereka berpolitik mengharungi badai, nyawa rakyat pun mereka gadai.
“Bagi membuktikan keluhuran untuk politik mereka kekal megah, nyawa rakyat pun mereka jual dengan murah,” tulisnya dalam hantaran itu.
Susulan lonjakan kes Covid-19 selepas pilihan raya negeri Sabah, Kementerian Kesihatan dan ahli politik dihujani kritikan.
Walaupun tidak menuding jari terhadap pihak tertentu, Mohd Asri dipercayai turut merujuk kepada perkembangan politik semasa ketika negara masih berdepan ancaman Covid-19.
“Benar, kebanyakan orang politik jujur untuk kepentingan diri mereka. Sekalipun memusnahkan diri orang lain..apa warna, apa slogan, apa sepanduk, apa seruan, apa dalil, apa gelaran, apa lambang, apa jenama.
“Sikap kebanyakan mereka hampir sama,” katanya.
Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah mengumumkan negara mencatatkan 287 kes baru Covid-19 dalam tempoh 24 jam.
Ia merupakan jangkitan harian paling tinggi sejak wabak ini menular.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai