Skip to main
Logo Malaysiakini

'Kementerian perlu selesai segera isu benih padi pesawah'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ketua pembangkang Kedah, Phahrolrazi Mohd Zawawi meminta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan mengambil tindakan segera berhubung isu kekurangan benih padi dan dijual dengan harga mahal di pasaran.

Menurut Phahrolrazi, isu utama yang dihadapi petani ialah bekalan benih padi subsidi tidak mencukupi dan kelewatan bekalan, di mana petani hanya boleh dapat bekalan benih padi di pasaran terbuka dengan harga yang mahal.

“Ada pihak peniaga mengambil kesempatan menjual benih padi pada harga mahal kerana petani terpaksa membeli benih padi selepas petak tanaman telah sedia untuk disemai atau ditabur benih.

“Pihak kementerian digesa mengambil tindakan segera menghantar bekalan benih padi ke kawasaan-kawasan yang telah sedia untuk memulakan tanaman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menteri di kementerian tersebut merupakan Ronald Kiandee.

Adun Alor Mengkudu itu berkata demikian susulan rintihan dari pesawah mengenai masalah kelewatan biji benih padi dan eksploitasi harga yang dihadapi mereka sejak beberapa musim lalu.

Menurut NGO Pertubuhan Persaudaaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) sebelum ini, masalah ini menunjukkan seolah-olah tiada langkah diakukan kerajaan dahulu mahupun sekarang, meskipun memorandum telah dihantar sejak tahun lalu lagi.

Exco NGO tersebut, Abdul Rashid Yob mendakwa berlaku salah guna kuasa oleh pihak tertentu yang mengaut keuntungan terhadap benih yang diluluskan.

Mengulas lanjut, Phahrolrazi turut mencadangkan supaya kementerian menggunakan rangkaian pertubuhan-pertubuhan peladang sebagai saluran untuk mengedarkan benih padi supaya menjamin bekalan benih padi sampai kepada petani.

“Kementerian perlu membuat keputusan dan tindakan segera supaya petani tidak berterusan menghadapi masalah benih padi pada masa akan datang,” katanya.