Dengan kes kian meningkat, Noor Hisham beri 'khutbah' pematuhan SOP
Dr Noor Hisham Abdullah mungkin telah banyak kali memberikan nasihat kepada orang ramai berkenaan kaedah mencegah jangkitan Covid-19 di setiap sidang medianya.
Bagaimanapun, dengan peningkatan jumlah kes positif hari demi hari, ketua pengarah kesihatan itu sekali lagi menekankan nasihat tersebut.
Ketika sidang media di Putrajaya hari ini, Noor Hisham seperti biasa mengingatkan semua pihak agar menjaga penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan kerap mencuci tangan serta hanya keluar ke tempat awam jika perlu.
"Langkah-langkah kesihatan awam juga boleh dijalankan oleh setiap individu dengan mengamalkan 3W dan hindari 3C," katanya.
3W yang disebutnya adalah kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), memakai pelitup muka di tempat awam atau jika bergejala (wear), dan amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan (warn), antaranya elakkan bersentuhan dan amalan etika batuk dan bersin.
3C pula adalah menjauhi kawasan yang sesak (crowded place), elakkan kawasan yang sempit (confined space) dan elak berbual atau bertutur dengan jarak yang dekat (close conversation).
"Sebab virus ini tidak boleh merebak jika ada penjarakan fizikal satu atau dua meter dan kita dapat elakkan jangkitan serta putuskan rantaian penularan.
"Ini adalah kaedah yang kita gunakan sejak bulan Mac hingga ke kini untuk putuskan rantaian penularan dan ia telah terbukti (berjaya).
"(Kita) bukan (lakukan) melalui vaksinasi sebab kita belum ada vaksin. Tetapi apa yang kita ada adalah penjarakan fizikal dan kalau kita amalkan, InsyaAllah kita boleh (tanganinya)," katanya lagi.
"Khutbah" tersebut diberikan selepas Noor Hisham dalam jawapannya kepada soalan pemberita, sama ada Putrajaya berkemungkinan menjadi tempat penularan utama Covid-19.
'Lebih baik dari vaksin'
Dalam sidang media hari ini, dia sudah pun memberikan nasihat yang serupa ketika memberikan maklumat harian berkenaan wabak itu.
"Saya ingin menasihati rakyat Malaysia, terutama penduduk di Sabah, untuk mengamalkan kesihatan awam dengan melakukan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan mencuci tangan.
"Ini lebih baik daripada vaksin. Dan elakkan berkumpul [...] dan tempat paling selamat sekarang adalah rumah anda sendiri," katanya.
Penekanan Noor Hisham di saat negara menyaksikan lebih 250 kes baru untuk tiga hari berturut-turut.
Setakat tengah hari tadi, sebanyak 317 kes baru Covid-19 dilaporkan dengan kesemuanya merupakan penularan dalam negara.
Ia melepasi angka yang dilaporkan semalam iaitu 287 kes. sebanyak 260 kes dilaporkan pada Khamis.
Kedah dan Sabah merupakan negeri tertinggi merekodkan jumlah kes baru. Hari ini, sebanyak 155 kes dilaporkan di Sabah dan 102 kes di Kedah.
Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata pihak berkuasa akan lebih prihatin terhadap penularan kes di Sabah itu.
Berdasarkan penjelasan Noor Hisham, pihak berkuasa lenih bimbang dengan penularan di Sabah.
Menurunya, 97 kes di Kedah dari kluster Tembok yang melibatkan penjara di negeri itu.
"Kes penularan di Kedah terkawal, (kebanyakan kes) berada di penjara. Kita telah melakukan saraingan terhadap semua banduan, pegawai penjara dan harapnya kita dapat mengawalnya," katanya.
Kata Noor Hisham, punca jangkitan untuk kluster Tembok adalah daripada seorang pegawai penjara, yang mengiringi sejumlah banduan, yang kemudiannya merebak ke banduan lain.
Bagi Sabah, Noor Hisham berkata mereka telah meningkatkan kegiatan saringan dan kesihatan awam dan berharap dapat mengawalnya dalam tempoh seminggu.
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai