Skip to main
Logo Malaysiakini

Pencemaran: Lagi gangguan air di Lembah Klang, jejas 300,000 pengguna

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Satu lagi gangguan bekalan air akan menjejaskan pengguna di beberapa kawasan di Lembah Klang.

Ini berpunca daripada pencemaran sungai, hanya sebulan selepas kejadian serupa menyebabkan 1.2 juta isi rumah terjejas bekalan air.

Dalam kejadian terbaru,  Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata sebanyak 309, 605 isi rumah di 273 kawasan di daerah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang terjejas.

"Pengurusan Air Selangor ingin memaklumkan bahawa Loji Rawatan Air Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi terpaksa dihenti tugas sepenuhnya ekoran insiden pencemaran air mentah di Sungai Semenyih yang menjadi sumber air mentah ke loji-loji ini," kata syarikat itu pada satu kenyataan hari ini.

Air Selangor berkata telah melaporkan kejadian itu kepada Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dan sedang mengesan secara aktif punca pencemaran di sepanjang Sungai Semenyih dan anak sungai berhampiran.

Pelan tindakan kecemasan (ERP) juga telah diaktifkan bagi membantu pengguna yang terjejas susulan kejadian ini, kata Air Selangor pada suatu kenyataan hari ini.

Air Selangor berkata pada masa ini, pihaknya masih belum dapat memberikan tempoh waktu bila bekalan air akan dipulihkan.

Sementara itu Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata pencemaran itu dikesan dari suatu sungai di Negeri Sembilan.

"Punca pencemaran adalah sejauh 30km dari LRA Sungai Semenyih. Punca pencemaran dikesan di Sungai Batang Benar, Negeri Sembilan.

"Saya telah berhubung dengan Menteri Besar Negeri Sembilan (Aminuddin Harun) untuk bersama menyelesaikan isu ini," katanya pada hantaran di media sosial.

Sebelum ini, gangguan air berlaku susulan kejadian pada 3 September apabila sebuah kilang penyelenggaraan jentera disyaki membuang bahan pencemar ke Sungai Gong, menyebabkan pencemaran anak sungai Sungai Sembah yang masuk ke Sungai Selangor.

Ini menyebabkan empat loji rawatan air Sungai Selangor Fasa, 1, 2 dan 3 serta satu lagi loji di Rantau Panjang ditutup.

Bekalan air hanya dipulihkan sepenuhnya setelah enam hari, pada 9 September.

Gangguan air terbaru akibat pencemaran adalah yang ketujuh terjadi di Lembah Klang sejak tahun lalu.

Selain kejadian terbaru dan gangguan pada 3 September, sekurang-kurangnya lima kejadian lain telah berlaku sejak tahun 2019.

Pada Mac, tiga loji rawatan air ditutup kerana disyaki akibat tumpahan minyak di sekitar Bestari Jaya di Selangor.

Pada bulan Disember 2019, pembuangan sampah haram di Sungai Semenyih menyebabkan penutupan loji rawatan air Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi.

Loji rawatan air Sungai Semenyih juga terjejas oleh kejadian berasingan pada bulan September dan Jun tahun lalu.

Pada bulan Julai tahun lalu, lebih daripada satu juta isi rumah terjejas ketika loji rawatan air Sungai Selangor 1, 2 dan 3 terpaksa ditutup, juga disebabkan oleh pencemaran sungai.

Kawasan yang terjejas adalah: