Isu bantuan bas pelajar: Ebit Lew mohon maaf pada Upsi
Pendakwah bebas, Ebit Lew menyatakan permohonan maaf secara terbuka kepada pihak pentadbiran Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) selepas diminta berbuat demikian oleh Naib Cancelornya Prof Dr Shatar Sabran.
Dia pendedahkan perkara itu melalui satu hantaran di Facebook sekali gus menyatakan permohonan maaf berhubung isu bantuan bas kepada pelajar-pelajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) itu sebelum ini.
"Saya mohon maaf pada pihak pentadbiran Upsi terutama vice cancelor Prof Dato' sendiri yang menghubungi pihak saya tadi supaya saya membuat permohonan maaf terbuka.
"Saya minta maaf pada semua adik-adik pelajar universiti lain juga. Saya tengok pelajar macam anak-anak saya sendiri. Saya terpaksa tangguhkan 20 buah bas. Asal saya niat buat semua ini untuk pelajar berdasarkan keluhan saya tanggung dan dengari.
"Sebab dulu saya berhari-hari lapar itu biasa. Saya memang jarang balik kampung sebab tiada duit. Selalu tidur masjid saja dulu. Makan pun tumpang dekat masjid," katanya dalam hantaran tersebut.
Terdahulu, Ebit yang terkenal kerja-kerja kebajikannya itu mengusahakan bas percuma kepada pelajar-pelajar Upsi yang terpaksa pulang semula ke rumah masing-masing selepas pendaftaran masuk secara fizikal ke pusat pengajian itu ditangguhkan susulan penularan wabak Covid-19.
Difahamkan bantuan yang dihulurkan itu tidak dibuat melalui pihak pentadbiran Upsi, sekali gus Ebit memohon maaf dan menyatakan kesilapan pihaknya.
"Saya minta maaf saya salah. Saya cuma membantu. Ramai pelajar dah balik dan ada yang keluarga ambil. Saya cuma siapkan macam bas awam. Syukur bas yang bergerak pun dah sampai selamat. Biasa naik bas bayar tapi kali ini free dan lebih tersusun dan tak perlu nak ke bus stop dan naik train. Saya tangguhkan 20 bas sehingga di beri kelulusan," katanya.
Sementara itu, usaha Malaysiakini untuk mendapatkan penjelasan lanjut pihak Upsi khususnya Dr Shatar tidak berhasil setakat ini.
Dalam perkembangan itu Penyarah Upsi, Dr Rozaimi Ramle dalam hantaran di Facebook tampil menjelaskan perkara sebenar supaya pihak tiada pihak yang salah faham.
Katanya, pihak Upsi tidak menghalang bantuan Ustaz Ebit Lew, malah sangat menghargainya dan berharap agar bantuan kepada pelajar dapat dilakukan demi menjaga kebajikan pelajar.
"Perkara yang pihak pengurusan Upsi minta ialah jika ada apa-apa bantuan yang ingin dihulurkan berkaitan pengangkutan pelajar yang berada di kampus ke kampung halaman mereka biarlah dengan pengetahuan pihak pengurusan.
"Sekurang-kurangnya maklumkan tentang data pelajar yang terlibat, maklumat perjalanan dan destinasi tujuan. Ini penting supaya pergerakan pelajar menaiki bas itu di dalam pengetahuan pihak pengurusan kerana dibimbangi jika berlaku apa-apa kepada pelajar di dalam perjalanan pihak pengurusan akan dipertanggungjawabkan
"Pihak pengurusan hanya minta mereka dimaklumkan tentang perkara ini. Mereka tidak sesekali berniat untuk menghalang bantuan dari Ustaz Ebit atau siapa sahaja," jelasnya.
Tambahnya, penjelasan itu diharap dapat meleraikan sedikit kekeliruan yang timbul.
"Mudah-mudahan penjelasan ini dapat meleraikan sedikit kekeliruan. Kita semua pernah lapar dan susah. Cuma kita perlu kerjasama untuk membantu dan maklumkan maklumat penting kepada pihak yang berkenaan.
"Saya juga berharap agar ustaz Ebit dan pihak lain terus membantu pelajar Upsi dan mahasiswa lain dalam menghadapi situasi sukar ini. Semoga Allah membalas usaha baik ustaz Ebit dan semua pihak yang menghulurkan bantuan kepada mahasiswa kita. Moga Allah berkati kita semua," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai